TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Peribahasa itu mungkin bertepatan digunakan buat Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, penyerang Sang Saka Biru, ketika berpeluang mengisi kesebelasan PDRM FC ekoran tonggak utama mereka, Ifedayo Olusegun tidak dapat beraksi ketika menentang JDT, Rabu lalu.
Bukan sahaja mempamerkan prestasi yang baik sepanjang perlawanan, malah dia menjadi faktor pemboleh ubah nasib PDRM pada perlawanan itu.
Namun apabila diajukan kepada Shahrel mengenai sumbangan jaringannya yang menyelamatkan PDRM di laman sendiri, penyerang itu tidak gelojoh untuk menerima pujian seorang diri.
“Saya berbangga kerana pasukan secara bersama mendapatkan satu mata ini. Persembahan PDRM berjaya mengikut perancangan jurulatih untuk kami bertahan dari dibolosi dalam 10 minit awal, kami fokus dan dapat jua menjaringkan gol awal… jadi saya rasa prestasi kami sebagai satu pasukan sangat baik,” kata Shahrel, mengakui gugup di awal perlawanan kerana kali pertama diturunkan dalam kesebelasan PDRM.
Ironinya, perlawanan antara PDRM menentang JDT di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu mencatat kehadiran tertinggi penyokong ke stadium bagi minggu ketujuh Liga Super, apabila dihadiri 5,500 orang.