KAPTEN Kuala Lumpur City FC, Paulo Josue mendedikasikan jaringannya pada aksi pembukaan Liga Super 2024-25 ketika menentang Kuching City FC kepada Faisal Halim sebagai tanda penghargaan kecil buat rakannya itu.

Paulo melakukan aksi ‘siu’ selepas menjaringkan gol pembukaan buat KL City dengan mesej ‘be strong‘ pada bajunya sebagai tanda solidariti atas apa yang terjadi kepada pemain sayap kebangsaan itu yang menggegar negara.

“Saya raikan gol macam Mickey kerana dia dekat dengan kami dan semua rasa kesal dengan apa yang berlaku. Kami mahu beri galakkan dan ingatkan padanya bahawa kami semua ada dibelakangnya dan ini adalah perkara kecil yang boleh saya berikan padanya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Paulo Josue mendedikasikan jaringannya khas buat Faisal Halim.

Mengulas tentang aksi pembukaan, pemain naturalisasi negara itu berpuas hati dengan apa yang diberikan rakan-rakan sepasukannya terutama apabila perlu bermain dengan 10 pemain sepanjang babak kedua dan mahu momentum ini dikekalkan sepanjang musim ini.

“Kami lakukan dengan baik dan tunjukkan karakter yang kuat sehingga minit terakhir untuk mengekalkan keputusan walaupun bermain dengan 10 pemain. Satu mata cukup bagus dan kini kami mempunyai dua minggu untuk bersedia hadapi perlawanan seterusnya menentang JDT.

“Saya juga gembira kerana dapat menjaringkan gol pada posisi baharu saya dan pujian seharusnya diberikan kepada semua pemain atas usaha yang mereka tunjukkan dalam perlawanan ini,” jelasnya.

Paulo gembira dengan aksi rakan-rakan sepasukannya dan mahu bangkit pada perlawanan seterusnya

Paulo membuka tirai jaringan buat Kuala Lumpur City seawal minit ke-12 namun Pedro Henrique berjaya menyamakan kedudukan untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.