PEMAIN sayap skuad Harimau Malaya, Faisal Halim mendedikasikan gol pertamanya ketika menentang Korea Selatan ditujukan khas buat anaknya penyokong setia Harimau Malaya.
Faisal meledak gol pertama negara pada minit ke-51 dan seperti biasa, dia meraikannya dengan gaya biasanya ‘siuuuu’.
“Siapa-siapa nak buat boleh (keraian jaringan siuuu), tapi memang rakyat Malaysia dah tahukan Mickey (nama panggilannya) kalau gol buat macam mana.
“Saya cuma bagi mereka gembira dan nak mereka semangat kat sini (di Doha) sebab kita dah tak layak.
“Sedih mereka datang jauh, jadi ini adalah satu kenangan untuk mereka banggakan juga,” katanya selepas kejayaan mengikat Korea 3-3 di Stadium Al Janoub, pada Khamis.
Uniknya, semasa meraikan gol itu, ribuan penyokong termasuk dari Korea Selatan turut menyebut ‘siuuuu’ dan jeritan itu bergema seluruh stadium.
Jelas pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu, jaringan berkenaan cukup istimewa menerusi teknik yang mengelirukan hingga gagal di halang pertahanan mahupun Jo Hyeon-woo di depan pintu gol.
“Saya pun tak jangka gol itu berlaku, itu semua rezeki daripada Allah. Kita bekerja keras dan lakukan apa yang kita mampu.
“Kalau kita lihat gol itu, saya teringat waktu saya main belia Pulau Pinang. Saya rasa ada satu gol yang hampir sama, hampir sama macam itu.
“Waktu itu saya lawan Perak kalau tak silap saya,” katanya.