PEMAIN tengah Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal mendedahkan bahawa gol pembukaan yang dijaringkan semasa perlawanan menentang Penang FC pada Sabtu, adalah gol yang dinanti-nantikan.
Bagi pemain Harimau Malaya Bawah 23 (B-23) itu juga, setelah Selangor FC mengharungi lebih kurang empat perlawanan Liga Super sebelum ini, dia masih menunggu peluang terbaik untuk dapat menjaringkan gol pertama pada musim ini.
Maka, jaringan tepat ke gawang gol Penang FC pada awal minit ketiga permainan semalam (Sabtu) telah memberi semangat baharu serta keterujaan buat Mukhairi Ajmal yang akhirnya dapat melunaskan impian musim baharu.
“Saya rasa sangat bersyukur dan gembira kerana sudah sekian lama saya menunggu detik ini untuk menjaringkan gol. Jadi hari ini, Alhamdulillah saya teruja kerana dapat merealisasikannya.
“Dua hari lepas saya pergi ke Sekolah Rendah dan ada pelajar cakap, kalau dapat jaringkan gol tolong lakukan sambutan dengan gaya seperti ‘peace‘ yang saya buat. Jadi, saya sudah dapat tunaikan permintaan mereka.
“Kegembiraan saya hari ini jelas kerana semua bangkit daripada kekalahan di Terengganu, jadi saya harap dengan kemenangan ini juga kita dapat cari semula mata di Pahang nnti,” ujar Mukhairi ketika menjawab pertanyaan FLASH SUKAN.
Mukhairi yang baru berusia 23 tahun telah diturunkan dalam empat perlawanan Liga Super musim ini, sejurus membuktikan bahawa Nidzam Jamil memberi kepercayaan terhadap tonggak muda tersebut.
Akhirnya, dia tampil dengan satu jadingan padu yang telah menambah tonik semangat pasukan untuk memburu jaringan demi jaringan, seterusnya demi memastikan kemenangan buat Selangor FC.