MENJADI medium pendedahan buat pemain golf remaja negara kepada saingan bertaraf antarabangsa, Kejohanan Golf Remaja 100PLUS SRIXON 2024 yang dijadual berlangsung di Kota Permai Golf & Country Club dari 29 Julai hingga 1 Ogos depan, seharusnya mendapat sambutan hangat dari seluruh negara.
Lebih menarik, kejohanan itu turut mengumpul bakat muda dari kalangan negara-negara rantau Asia Pasifik.
Pemain golf remaja dari Brunei, Kemboja, Hong Kong, China, India, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, adalah antara negara peserta yang dijemput dengan jangkaan 90 pemain dijangka menghangatkan saingan.
“Untuk pemain remaja kita berkembang menjadi amatur yang lebih baik dan profesional di masa depan, mereka harus didedahkan kepada pertandingan di peringkat tinggi sejak dari usia muda bagi membina kemahiran mereka.
“Bersaing bersama rakan sebaya dari rantau ini, ia akan membolehkan mereka mengukur tahap permainan dan mengetahui tahap kemampuan diri,” kata Pengarah Pengurusan Fraser&Neave Holdings Bhd, Datuk Raffiq Md Ariff selepas sidang media pelancaran kejohanan di Permai Golf Country Club.
“Pemain profesional ketika ini seperti Gavin Green dan Kelly Tan juga adalah bekas juara Kejohanan Remaja Malaysia selain beberapa nama pemain Malaysia yang lain sudah meraih manfaat daripada kejohanan ini.
“Kami sangat berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian dalam golf remaja semula dan tidak sabat untuk melihat bakat negara beraksi nanti,” kata Raffiq.
Bagi menambah tahap persaingan, kejohanan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Divisyen A untuk remaja lelaki dan perempuan antara 14 hingga 17 tahun, kategori pembangunan (Divisyen B) juga akan dipertandingkan buat lelaki dan perempuan antara umur 11 dan 13 tahun.
Pemain golf remaja domestik boleh melayakkan diri ke Kejohanan Remaja 100PLUS SRIXON menerusi dua siri kelayakan iaitu di Siri Kelayakan Semenanjung Malaysia di Templer Park Country Club di Rawang, Selangor dari 6 hingga 9 Mei dan Siri Kelayakan Sabah dan Sarawak yang dijadual berlangsung di Miri Golf Club, Sarawak dari 10 hngga 13 Jun.