PASUKAN baharu yang akan menyertai Liga MBSB Bank Championship 2024-25, Gombak FC mula melaungkan amaran awal dengan melakukan persiapan rapi menjelang sepak mula liga amatur itu yang dijadualkan bermula pada 1 Jun 2024.
Gombak FC adalah salah satu pasukan yang diumumkan pengelola liga, Amateur Football League (AFL) sebagai antara 16 pasukan yang mengambil bahagian dan menjadikan Stadium Majlis Perbadanan Selayang (MPS) sebagai gelanggang rasmi.
Pasukan yang menjadi kebanggaan warga Gombak itu dilihat bakal memberikan cabaran dengan melantik bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam sebagai ketua jurulatih manakala Fadhil Hashim pula akan menjadi penolong jurulatih.
Selain mengekalkan pemain-pemain sebelum ini, Gombak FC tidak berdiam diri dan menandatangani pemenang Piala MFL 2023, Isa Raman dari Terengganu II dan Saiful Ridzuwan untuk menambah kekuatan pasukan.
Skuad baharu ini juga sudah menjalani beberapa perlawanan pramusim bertemu skuad Piala Presiden PDRM FC, Kelantan FC dan Selangor FC selain menjadi ‘sparring partner‘ untuk skuad senior Selangor FC sekali gus menunjukkan komitmen dalam persiapan pasukan.
Pengalaman yang ada pada barisan kejurulatihan dan juga beberapa pemain senior dijangka akan memberikan nilai tambahan buat Gombak FC untuk menghadapi saingan liga yang dilihat semakin kompetitif dengan penglibatan 16 pasukan.