PENGENDALI Gombak FC, Shahrom Kalam menyifatkan keputusan seri 2-2 dengan Armed Forces FC sebagai satu kerugian buat pasukan.
Menurutnya, perlawanan semalam merupakan dua separuh masa yang berbeza dengan pasukan itu melakukan banyak kesilapan pada babak pertama sebelum bangkit semula di babak kedua.
“Sebenarnya ini adalah satu perlawanan yang kita sangat rugi sebenarnya. Dua separuh masa yang berbeza persembahan dan kita nampak separuh masa yang pertama bukanlah separuh masa yang baik buat pasukan dimana kita asyik buat kesilapan, sangat perlahan dan kita tidak settle down awal.
“Ia memberi ruang kepada pasukan lawan untuk menjaringkan dua gol yang saya rasa sepatutnya kita tak patut dibolosi jika kita bermain dengan baik pada babak pertama tetapi itulah bolasepak.
“Alhamdulilah kita dapat bangkit untuk menjaringkan dua gol dan kita sepatutnya menang perlawanan malam ini tetapi itulah bolasepak. Jadi kita perlu berpuas hati dengan satu mata
“Saya berbangga dengan pemain saya kerana walaupun mereka melakukan kesilapan tetapi mereka cepat bangkit pada babak kedua, kita memberitahu apa yang sepatutnya dilakukan oleh mereka dan mereka melaksanakan di babak kedua dengan baik,” katanya ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Gombak FC ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama selepas dua jaringan oleh Faiz Ibrahim pada minit ke-33 dan 43.
Pendatang baru dalam Liga A1 Semi Pro itu kemudiannya bangkit pada babak kedua dan berjaya mencuri satu mata selepas jaringan berjaya dihasilkan oleh Saiful Ridzuwan Selamat pada minit ke-66 dan Patrik Majeski pada minit ke-69.
Gombak masih kekal dengan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan dengan mengutip lima mata manakala Armed Forces pula berjaya mengutip mata pertama musim ini.