PASUKAN baharu yang menyertai Liga A1 Semi Pro, Gombak FC bersedia untuk menepati sasaran musim ini apabila saingan liga akan bermula.

Dikendalikan oleh bekas pemain Selangor FC, Shahrom Kalam sebagai ketua jurulatih pasukan, pengurusan Gombak FC menyasarkan untuk pasukan itu bermain dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Menurut presiden kelab  Gombak FC, Muadzam Shariff yakin dengan kemampuan pasukan itu untuk menepati sasaran yang diletakkan.

Datuk Haji Hamidin Mohd Amin antara yang hadir ke majlis pelancaran jersi Gombak FC.

“Fokus kita untuk musim ini untuk memastikan Gombak FC layak ke Piala Malaysia musim ini. Sasaran kedua ialah untuk melayakkan diri ke Liga Super musim hadapan.

“Kita yakin dengan pasukan yang dikendalikan oleh Shahrom Kalam ini. Ketika perlawanan pramusim, pasukan kita memperoleh lima kemenangan dan empat kekalahan, kekalahan itu datang ketika menentang pasukan Liga Super dengan defisit keputusan yang sikit.

Jersi terbaharu pasukan Gombak FC bagi musim 2024/2025.

“Saya yakin kita mampu bagi saingan yang hebat apabila aksi liga bermula 1 Jun ini dengan bertemu Bukit Tambun FC,” jelas Muadzam ketika ditemui oleh media selepas majlis pelancaran jersi pasukan Gombak FC bagi musim 2024/2025

Sementara itu, Shahrom  pula mengatakan bahawa dia ingin mencuba membawa revolusi bola sepak moden ke dalam pasukan tersebut.

“Sejujurnya saya ingin memberi impak dan juga mengejutkan industri bola sepak tempatan terutamanya dalam Liga A1 Semi Pro,” ujarnya.