KONTINJEN para negara mengakhiri saingan Grand Prix Olahraga Para Dunia 2023 dengan menggondol tiga emas termasuk dua emas terakhir disumbangkan jaguh Paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Datuk Abdul Latif Romly pada Rabu.

Kegemilangan kontinjen para negara di Stadium Olahraga Rades, Tunisia bermula dengan pingat emas 100 meter (m) T35/T36 (kecacatan fizikal) pada Isnin, sebelum Ziyad dan Latif membuktikan masih berbisa dalam acara masing-masing.

Muhammad Ziyad, memenangi pingat emas acara lontar peluru F11/12/20 (masalah pembelajaran) dengan lontaran sejauh 15.93 meter (m).-Pix MSN

Muhammad Ziyad, pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 dan dua kali juara dunia pada 2013 dan 2017, menyertai acara lontar peluru F11/12/20 (masalah pembelajaran) berjaya meraih emas dengan lontaran sejauh 15.93 meter (m).

Lontaran penuh bertenaga itu sekali gus mengenepikan cabaran atlet Uzbekistan, Elbek Sultanov yang membuat catatan 14.16m manakala gangsa milik atlet tuan rumah, Amir Soltane (10.51m).

Latif Romly unggul apabila mencatatkan lompatan sejauh 6.90m menerusi acara lompat jauh T13/20 (masalah intelektual). -Pix MSN

Latif yang pernah menjadi juara Paralimpik sebanyak dua kali pada 2016 dan 2020, nyata unggul apabila mencatatkan lompatan sejauh 6.90m menerusi acara lompat jauh T13/20 (masalah intelektual) untuk mengetepikan pencabar dari Arab Saudi Hassan Dawshi yang hanya melakukan lompatan 6.08m untuk meraih perak.

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menghadiahkan emas pertama 100 meter (m) T35/T36 (kecacatan fizikal) . – Pix MSN

Mohamed Camara dari Guinea pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mencatatkan lompatan 5.12m.

Selain tiga emas pasukan para olahraga negara turut meraih satu perak melalui Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah dalam acara 100m T11/12 (masalah penglihatan) dengan mencatat 11.67s.