PEMANDU Ferrari, Charles Leclerc bakal memulakan perlumbaan pada petak utama untuk Grand Prix Sepanyol selepas mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan pada Sabtu.
Leclerc mencatat masa 1 minit 18.750 saat di Litar Catalunya mendahului Max Verstappen di tempat kedua dan rakan sepasukan Carlos Sainz akan bermula di tempat ketiga untuk grid permulaan pada Ahad.
Cuaca panas di Barcelona menguji para pemandu yang bergelut dengan cengkaman tayar dan dilihat sukar untuk mencatatkan masa terbaik.
Malang buat Aston Martin apabila kedua-dua pelumba mereka tersingkir pada pusingan kelayakan pertama dan akan bermula dari petak ke-16 dan 18.
Turut tersingkir adalah Fernando Alonso, Alexander Albon dan Nicolas Latifi dan akan memulakan perlumbaan di tangga ke-17, 19 dan 20.
Lando Norris, Esteban Ocon, dua pelumba Alpha Tauri Yuki Tsunoda dan Pierre Gasly serta Guanyu Zhou tersingkir di sesi kelayakan kedua dan akan memulakan perlumbaan di petak ke-11 hingga ke-15
Dua pelumba Haas mencipta sejarah berjaya layak ke sesi kelayakan ketiga sebelum akhirnya Leclerc muncul pemandu terpantas untuk bermula pada petak hadapan buat kali keempat musim ini.
“Saya melakukan kesilapan pada awal sesi kelayakan ketiga dan saya hanya mempunyai satu pusingan. Tetapi ianya sangat hebat dan segalanya baik. Saya rasakan kereta ini sangat hebat,” kata Leclerc selepas tamat sesi kelayakan.
Mampukah Leclerc dan Ferrari memanfaatkan petak pertama untuk bergelar juara Grand Prix Sepanyol. Perlumbaan ini akan berlangsung jam 9.00 malam Ahad waktu Malaysia.
Keputusan Sesi Kelayakan Grand Prix Sepanyol:
1. Charles Leclerc – Ferrari
2. Max Verstappen – Red Bull
3. Carlos Sainz – Ferrari
4. George Russell – Mercedes
5. Sergio Perez – Red Bull
6. Lewis Hamilton – Mercedes
7. Valtteri Bottas – Alfa Romeo
8. Kevin Magnussen – Haas
9. Daniel Ricciardo – McLaren
10. Mick Schumacher – Haas
11. Lando Norris – McLaren
12. Esteban Ocon – Alpine
13. Yuki Tsunoda – Alpha Tauri
14. Pierre Gasly – Alpha Tauri
15. Guanyu Zhou – Alfa Romeo
16. Sebastian Vettel – Aston Martin
17. Fernando Alonso – Alpine
18. Lance Stroll – Aston Martin
19. Alexander Albon – Williams
20. Nicolas Latifi – Williams