PELUMBA Red Bull, Max Verstappen muncul juara Grand Prix Sepanyol dengan rakan sepasukan Sergio Perez kedua manakala pendahulu keseluruhan, Charles Leclerc gagal menamatkan perlumbaan selepas kerosakan jentera Ferrari beliau.

 

Kejayaan Verstappen muncul juara buat kali keempat dari enam perlumbaan meletakkan dia kembali di tangga teratas keseluruhan kategori pemandu buat pertama kali musim ini.

Kejayaan 1-2 Red Bull memberikan pasukan itu kembali menerajui kategori pengeluar mengatasi Ferrari yang mendahului sejak dari perlumbaan pertama di Bahrain.

Meskipun bermula baik dan mendahului sejak awal, jentera Ferrari Leclerc mengalami kerosakan pada pusingan ke-27 sekaligus menyaksikan beliau terkeluar dari perlumbaan buat kali pertama.

Tempat ketiga menjadi milik pemandu Mercedes, George Russell yang pada awalnya berjaya mengekang asakan Verstappen dan Perez manakala Carlos Sainz menamatkan perlumbaan di tangga keempat meskipun terkeluar dari litar pada pusingan awal.

Melengkapkan 10 tempat teratas adalah Lewis Hamilton, Valtteri Bottas, Esteban Ocon, Lando Norris, Fernando Alonso yang bermula dari petak terakhir, dan Yuki Tsunoda.

“DRS saya tidak berfungsi dan ianya menjadikannya sukar. Permulaan yang kurang baik tetapi berakhir dengan baik. Saya gembira dengan kemenangan ini dan juga gembira dengan Perez. Ianya keputusan yang baik untuk pasukan,” ujar Verstappen pada temubual selepas perlumbaan.

Perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Grand Prix Monaco minggu hadapan dan Leclerc pasti mahu menebus kehampaan di litar tempat kelahirannya.

Keputusan Penuh Grand Prix Sepanyol:

1. Max Verstappen – Red Bull

2. Sergio Perez – Red Bull

3. George Russell – Mercedes

4. Carlos Sainz – Ferrari

5. Lewis Hamilton – Mercedes

6. Valtteri Bottas – Alfa Romeo

7. Esteban Ocon – Alpine

8. Lando Norris – McLaren

9. Fernando Alonso – Alpine

10. Yuki Tsunoda – Alpha Tauri

11. Sebastian Vettel – Aston Martin

12. Daniel Riccardo – McLaren

13. Pierre Gasly – Alpha Tauri

14. Mick Schumacher – Haas

15. Lance Stroll – Aston Martin

16. Nicolas Latifi – Williams

17. Kevin Magnussen – Haas

18. Alexander Albon – Williams

19. Guanyu Zhou – Alfa Romeo

20. Charles Leclerc – Ferrari

Kedudukan Pemandu Selepas Grand Prix Sepanyol (10 teratas):

1. Max Verstappen – 110 mata

2. Charles Leclerc – 104 mata

3. Sergio Perez – 85 mata

4. George Russell – 74 mata

5. Carlos Sainz – 65 mata

6. Lewis Hamilton – 46 mata

7. Lando Norris – 39 mata

8. Valtteri Bottas – 38 mata

9. Esteban Ocon – 30 mata

10. Kevin Magnussen – 15 mata

Kedudukan Pengeluar Selepas GP Sepanyol:

1. Red Bull Racing – 195 mata

2. Ferrari – 169 mata

3. Mercedes – 120 mata

4. McLaren – 50 mata

5. Alfa Romeo – 39 mata

6. Alpine – 34 mata

7. Alpha Tauri – 17 mata

8. Haas – 15 mata

9. Aston Martin – 6 mata

10. Williams – 3 mata