PENERJUN negara, Ooi Tze Liang meraih emas kedua di Kejohanan Fina Diving Grand Prix Kuala Lumpur, hari ini, kali ini bergandingan dengan Chew Yiwei dalam acara seirama 3 meter (m) papan anjal lelaki.
Gandingan itu mengumpul 382.11 mata pada acara terakhir hari ini, yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Penerjun negara itu mengatasi duo dari Australia, Vladimir Rudenko dan Lachlan Cronim dengan pingat perak selepas mengumpul 360.12 mata, manakala pasangan Mesir, Mohamed Farouk dan Mohamed Noaman gangsa dengan 327.63 mata.
“Prestasi terjunan hari ini agak baik buat kami walaupun beberapa terjunan kurang baik. Mujur kami berjaya mendapatkan emas untuk Malaysia,” kata Tze Liang.
Semalam, penerjun negara mencatat kemenangan 1-2 dengan Tze Liang yang berusia 29 tahun meraih emas 3m papan anjal lelaki dengan catatan terbaik 441.35 mata, Yi Wei, 27, pirak (406.90 mata) manakala penerjun Australia, Lachlan Cronin gangsa (402.20 mata).
Sementara itu, Jellson Jabilin-Enrique Harold, cemerlang dalam acara 10m platform seirama, meraih emas selepas mengumpul 356.28 mata mengatasi penerjun Indonesia, Adityo Restu Putra dan Andriyan (356.28 mata)
Seorang lagi penerjun negara, Ong Ker Ying, sekadar meraih perak dalam acara 3m papan anjal wanita, selepas meraih 281.75 mata, di belakang Alysha Koloi dari Australia yang meraih emas dengan 297.60 mata. – Bernama