Di sebalik kemenangan diraih Grace Wong Xiu Mei, timbul kontroversi mengenai keputusan acara baling tukul besi di temasya Sukan SEA Kemboja, apabila atlet Thailand, Panwat Gimsrang mendakwa catatan dilakukannya mengatasi Nurul Hidayah Lukman yang direkodkan memiliki balingan pingat gangsa.
Gracie, 23, bertindak pantas ke arah pegawai pertandingan mempertahankan rakan sepasukan, Hidayah, 22, kerana enggan protes dibuat pemain lawan, menyebabkan kontinjen negara kehilangan pingat gangsa.
“Saya kena defend Nurul Hidayah, di dapat nombor tiga and the results is her, masalah teknikal yang mereka katakan itu masalah mereka (Thailand) bukan masalah kita,” kata Grace.
Grace memberitahu, jurulatihnya, Gu Yuan turut menjerit memintanya mempertahankan catatan Nurul Hidayah.
Sementara itu, Nurul Hidayah berkata, dia sudah hamper menangis kerana gagal mendapatkan pingat gangsa, namun segala-galanya berubah selepas acara itu ditamatkan, dan tangisannya bertukar kepada air mata kegembiraan.
“Saya sedar saya berada di kedudukan ketiga, sehinggalah sebelum membuat balingan terakhir, tiba-tiba saya tergelincir ke tangga keempat, saya keliru tapi saya cuba bertenang kerana tidak mahu mengganggu balingan terakhir.
“Catatan saya 49.61 itu adalah balingan pertama dan ia bertahan namun dia (atlet Thailand) mendakwa catatan balingannya lebih tinggi dari saya tapi dia tak sebut berapa.
“Sebenarnya catatan dia sekitar 49 meter juga tapi jauh dari saya,” kata Nurul Hidayah.
Menurutnya, dia sering bersaing dengan Panwat dan kali terakhir ditewas di tangan atlet itu pada pertemuan di temasya Universiti Asean.
Untuk rekod, Nurul Hidayah memiliki catatan terbaik 52.49m.