ATLETpedang Hong Kong, Vivian Kong membawa semangat rakyat bersamanya untuk bangkit dari ketinggalan sebelum memenangi pertarungan epik ke atas pemain pedang tuan rumah untuk meraih emas pertama Hong Kong di Temasya Olimpik Paris 2024.
Dalam aksi final kategori epee di Grand Palais itu, Vivian ketinggalan 1-7 pada satu ketika kepada Auriane Mallo-Breton sebelum bangkit mengikat kedudukan hingga terikat 12-12 dan akhirnya memenangi mata penentuan di hadapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Graduan Universiti Stanford itu yang bersaing pada Olimpik ketiganya dan akhirnya berjaya membawa pulang pingat emas selepas layak ke pusingan 16 terbaik di Rio 2016 dan suku akhir di Tokyo 2020.
“Ketika ketinggalan 7-1 kerana saya tidak mahu tewas dengan margin yang besar dan cuba bangkit. Saya sangat-sangat tidak mahu kalah dan tidak mahu putus asa tanpa menunjukkan semangat rakyat Hong Kong.
“Saya sedar ini bukanlah tahap aksi saya dan cuba bertenang serta kosongkan fikiran yang mana akhirnya satu demi satu mata dapat dikutip dan akhirnya pingat emas menjadi milik saya,” katanya.
Kejayaan Vivian juga mendapat perhatian daripada Ketua Pegawai Eksekutif Hong Kong, John Lee Ka Chiu yang membuat panggilan peribadi kepada atlet itu dan mengucapkan tahniah atas kejayaan yang mengharumkan nama wilayah China itu.
Vivian turut mengakui pada awalnya dia bimbang mendapat kecaman daripada penyokong tempatan kerana cuba menewaskan wakil tuan rumah dan itu menyebabkan fokusnya sedikit terjejas pada awal acara.
Kejayaan ini adalah pingat emas ketiga keseluruhan yang pernah diraih Hong Kong dengan pingat pertama dimenangi peluncur angin ketika Temasya Atlanta 1996 dan pingat kedua juga dari acara lawan lelaki di Temasya Tokyo 2020.