GRAND Prix Australia akan kekal di Litar Albert Park, Melbourne sehingga 2035 selepas satu perjanjian lanjutan kontrak 10 tahun baharu dipersetujui.

Sebagai tambahan, perlumbaan Formula 2 dan Formula 3 juga akan diadakan buat julung kali di Grand Prix Australia bermula musim 2023.

Litar Albert Park telah menjadi venue untuk Grand Prix Australia sejak 1996 dengan pelaburan yang banyak dilakukan sepanjang dua tahun lalu untuk menaik taraf litar, pengalaman penonton dan juga penambahbaikan fasiliti.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali nyata gembira dengan berita ini dan berharap Grand Prix yang popular di kalangan peminat F1 ini akan terus berkembang di masa hadapan.

 

“Dengan sukacitanya saya ingin mengesahkan bahawa Melbourne dan Litar Albert Park akan terus berada dalam kalendar perlumbaan F1 hingga 2035. Perlumbaan ini sentiasa menjadi pilihan para peminat, pelumba dan juga pasukan malah Melbourne sendiri adalah sebuah bandar antarabangsa yang setaraf dengan sukan ini.

“Tahun ini menyaksikan jumlah penonton yang besar dan bersemangat di sini dan kami gembira dengan masa depan sukan ini di Australia tatkala ianya semakin berkembang di seluruh dunia,” jelas Domenicali.

Sementara itu Menteri Pelancongan, Sukan dan Acara Kerajaan Victoria, Martin Pakula pula berkata kerajaannya sedar akan kesan ekonomi kepada bandar ini dan ianya adalah sebab utama pelanjutan kontrak ini dipersetujui.

“Kami sedar betapa pentingnya acara sukan ini kepada ekonomi negeri kami dan ini adalah sebabnya mengapa kami berikan lanjutan kontrak terpanjang, pertama kali sejak perlumbaan ini dilangsungkan di Melbourne.”

Berita ini turut disambut baik Andrew Westacott, Ketua Pegawai Eksekutif Grand Prix Australia yang menganggap keputusan ini adalah tepat kerana ianya akan memberikan aspirasi kepada para pelumba generasi baharu Australia.

“Ini adalah pengumuman yang sangat hebat buat Melbourne dan Victoria. Ianya dibina daripada sejarah permotoran kami yang hebat selain dari Melbourne yang sememangnya meminati acara sukan yang besar dan ianya akan memberikan aspirasi kepada pelumba generasi baru Australia untuk lebih berjaya.”

Grand Prix Australia 2022 pada April lalu menyaksikan 419,000 penonton hadir ke litar menjadikannya acara sukan hujung minggu terbesar yang pernah dianjurkan Australia dan kini mereka boleh menyambung tradisi ini hingga 2035.