‘LIVING legend’… Novak Djokovic merendah diri enggan digelar pemain tenis terbaik sepanjang zaman, selepas mencipta rekod baharu memenangi gelaran Grand Slam ke-23.
Bintang Serbia berusia 36 tahun itu, menewaskan Casper Ruud dari Norway, 7-6 (1), 6-3, 7-5 di final Terbuka Perancis, sekali gus mengatasi rekod 22 Grand Slam yang dikongsi seleama ini bersama seteru rapat, Rafael Nadal dari Sepanyol.
Kemenangannya itu membolehkan dia mengumpul tiga gelaran di Roland Garros, selain 10 kejuaraan Terbuka Australia, tujuh Wimbledon dan tiga Terbuka Amerika syarikat (AS).
Rekod demi rekod di pegangnya termasuk muncul satu-satunya pemain lelaki memenangi semua empat ‘Slams’ sekurangnya-kurangnya tiga kali, malah dia akan menaiki takhta nombor satu dunia kembali.
“Tidak, saya tidak mahu katakan saya yang terhebat kerana itu membuatkan saya tidak menghormati ramai lagi bekas juara hebat yang pernah bertanding pada era berbeza.
“Jadi saya berikan gelaran ini kepada orang lain kerana saya percaya dan yakin pada diri sendiri untuk melakukan apa sahaja yang terdaya,” katanya.
Sekalipun menjadi juara tertua di Terbuka Perancis, Djokovic menegaskan itu bukanlah pengakhirannya.
Malah, ketika ditanya sama ada dia mampu memenangi gelaran Grand Slam ke-24 ataupun ke-25, dia membalas ‘kenapa tidak?’
Hampir sebahagian gelaran Grand Slam iaitu 11 dimenanginya selepas berusia 30 tahun dengan dia juga tidak berhasrat untuk menggantung raketnya buat masa ini. -Agensi