PEMAIN tengah Manchester City, Jack Grealish mengakui hidupnya lebih bahagia dan bermakna bersama pasangannya Sasha Attwood serta bayi perempuan mereka yang baharu lahir, Mila Rose serta anjing peliharaan kesayangan, Skye.
Grealish yang kini bergelar bapa, menyambut kelahiran anak perempuannya pada akhir bulan September baru-baru ini telah berkongsi berita bahagia itu di Instagram.
Penampilan Grealish dan Sasha ini adalah kali pertama mereka dilihat bersama selepas kelahiran Mila.
Pasangan ini telah bersama selama 10 tahun, dan Mila dilahirkan hanya beberapa jam sebelum Grealish turun ke padang bersama Manchester City menentang Newcastle pada 27 September lalu.
Menceritakan detik itu kepada BBC Radio, Grealish berkata, “Ia adalah detik terbaik dalam hidup saya, seperti yang anda boleh bayangkan. Banyak kenangan indah dalam hidup, tetapi yang ini benar-benar mengatasi segalanya.
“Saya terpaksa meninggalkan sesi latihan pada pagi Jumaat untuk bergegas ke London, dan beberapa jam kemudian, detik itu berlaku,” tambahnya.
Selepas menemani Sasha dan bayi mereka, Grealish perlu menaiki pesawat ke Newcastle dan tiba lewat tengah malam di hotel sebelum beraksi dalam perlawanan pada pagi berikutnya.
Pasangan ini mengumumkan kelahiran anak mereka dengan menggayakan gambar hitam putih yang menunjukkan tangan kecil itu menggenggam jari mereka, berserta kapsyen “Mila Rose Grealish 27/09/24.”