BEKAS bintang Manchester United, Mason Greenwood bakal menyambut kehadiran anak kedua bersama pasangannya, Harriet Robson, awal tahun depan.
Pasangan ini sudah pun menyambut kelahiran anak sulung mereka, seorang bayi perempuan bernama Summer pada Julai tahun lalu.
Selepas berpindah daripada Manchester, Greenwood kini menikmati kehidupan yang lebih tenang di Perancis berikutan berada jauh daripada perhatian media yang sering mengelilingi pemain Manchester United.
“Mason telah banyak berubah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya selepas menjadi seorang bapa.
“Kehidupan dia kini lebih stabil, membolehkan dia fokus sepenuhnya kepada karier bola sepaknya,” kata sumber terdekat.
Sejak menyertai Marseille dengan kontrak bernilai RM 411,600 seminggu, Greenwood telah menjaringkan lima gol setakat ini dan telah menarik minat beberapa kelab besar Eropah seperti Barcelona.
Untuk meraikan ulang tahun pertama anak sulung mereka, Harriet memuat naik video kompilasi Greenwood bersama anak mereka di laman sosial miliknya.
Walaupun Greenwood masih belum memberikan sebarang komen rasmi mengenai berita ini, ternyata kehidupan baharunya di Perancis jelas membawa kebahagiaan kepada keluarganya, sambil karier bola sepaknya terus berkembang dengan cemerlang.