BEKAS pemain Manchester United Mason Greenwood, yang kini menyinar bersama pasukan Marseille, dilaporkan berminat untuk mewakili skuad kebangsaan Jamaica selepas mengalami tempoh yang kontroversi sepanjang dua tahun lalu.
Pengendali pasukan Jamaica, Steve McClaren, mengesahkan bahawa Greenwood berminat untuk menyarung jersi “Reggae Boyz” dan mungkin akan beralih kesetiaan daripada England seawal tahun depan.
Greenwood, yang kini berusia 23 tahun pernah dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan England dan meraih satu cap pada tahun 2021.
Namun kerjaya antarabangsanya tergantung apabila dia ditahan atas dakwaan merogol pada Januari 2022, hanya empat bulan selepas penampilan sulungnya bersama England.
Selepas dituduh dengan cubaan merogol dan serangan, semua pertuduhan terhadapnya digugurkan pada Februari 2023.
Manchester United kemudiannya mengambil keputusan untuk tidak menyerap semula Greenwood ke dalam skuad utama dan meminjamkannya ke Getafe sebelum berpindah tetap ke Marseille.
“Dia telah melalui banyak cabaran dalam dua tahun ini, berdepan pelbagai situasi termasuk perpindahan kontrak dan bermain secara pinjaman.
“Kini, dia hanya mahu fokus untuk bermain bola sepak dan menikmati permainannya di Marseille, yang mana dia sedang melakukannya dengan baik.
“Dia mahu menyertai Reggae Boyz, setiap kali saya bercakap dengannya, tiada sebab untuk saya meragui hasratnya itu,” kata McClaren.
McClaren mengesahkan perkara itu pada sidang akhbar, di mana dia mengumumkan skuad 23 pemain untuk perlawanan suku akhir Liga Negara-Negara Concacaf menentang Amerika Syarikat.
Greenwood memenuhi syarat untuk mewakili Jamaica melalui bapanya yang berasal dari negara tersebut.