TUNKU Abu Bakar Sultan Ibrahim berjaya mencatat kemenangan di tempat ketiga bagi pasukan Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) selepas memenangi perlumbaan kedua GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), pada Ahad.
Kejayaan yang dirangkul oleh Tunku Abu Bakar serta gandingannya Mikael Grenier, pakar perlumba dari Kanada telah mencatat masa selama 1 jam 44.062 saat dengan jentera jenis Mercedes-AMG GT3 EVO.
Ia sekaligus menyaksikan pasukan JMR merangkul tempat ketiga podium dalam dua perlumbaan (semalam dan hari ini).
Perlumbaan hari ini juga turut menyaksikan Tunku Abu Bakar mengakhiri musim kejuaraan perlumbaan GT World Challenge Asia di kedudukan kedua keseluruhan pemandu dengan mengumpul 137 mata, hanya lima mata berbeza daripada pelumba China, Anthony Liu-Xu.
Manakala, juara kali ini menjadi milik pelumba daripada pasukan R&B Racing, Wei Lu serta gandingan Patrick Pilet berjaya mencatat rekod masa terbaik selama 1 jam 28.128 saat dengan jenteranya jenis Porsche 911 GT3 R (992).
Bagaimanapun, Tunku Abu Bakar yang ditemui selepas habis perlumbaan itu turut menyatakan bahawa setiap liku yang dilalui dalam perlumbaannya sudah diharungi dengan sebaik mungkin.
Tunku juga sempat meluahkan ucapan tahniah dan gembira terhadap penyokong-penyokong yang hadir ke SIC sejurus sentiasa memberi sokongan terhadap pasukan JMR.
“Untuk hari ini saya rasa itu sahaja yang mampu dilakukan namun saya harap ada peluang yang lagi baik untuk saya bangkit dengan aura baharu yang lebih kuat pada musim hadapan.
“Saya juga akan mencuba untuk mengambil sebanyak peluang yang boleh bagi pasukan JMR,” ujar Tunku Abu Bakar kepada media.
Sementara itu, pasukan JMR yang juga diwakili seorang lagi Putera Johor iaitu Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim yang bergandingan dengan pelumba V8 Supercars Australia, Broc Feeney menamatkan perlumbaan di tangga ke-11 dalam siri perlumbaan kedua.
ARTIKEL BERKAITAN : Hadiah Ulang Tahun Perkahwinan ke-41 yang manis buat Sultan Johor dan Permaisuri
Selain itu, perlumbaan hari ini juga diserikan dengan keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dalam memberikan dorongan dan sokongan kepada kedua-dua putera baginda.
Berangkat sama, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris; Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.