DUA putera Sultan Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim sedia menghangatkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada siri perlumbaan pusingan akhir GT World Challenge Asia bermula pada Jumaat.

Tunku Abdul Rahman serta Tunku Abu Bakar beraksi bersama pasukan Triple Eight JMR bersama dua jentera Mercedes AMG GT3 yang akan dipandu empat pemandu dalam kategori Pro-Am.

Tunku Abu Bakar yang kini sedang mengutip 107 mata digandingkan bersama pelumba endurance Jerman, Luca Stolz yang sebenarnya dilihat berpeluang mengintai kategori Kejuaraan Pro-Am tahun ini di laman sendiri.

Hari ini, berlangsung sesi latihan di sebelah pagi dan petang sebelum esok mereka akan terlibat perlumbaan sesi kelayakan pada Sabtu.

Manakala, siri perlumbaan akhir dijalankan pada petang Sabtu dan Ahad bagi mencari gelaran mutlak musim ini.

Malahan, seandainya Tunku Abu Bakar berjaya menggapai kemenangan pada Ahad ini, kejuaraan yang diperolehi itu dapat dipersembahkan sebagai hadiah kepada ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan bonda, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris sempena Ulang Tahun Perkahwinan ke-41 yang disambut pada semalam.

Sudah tentu, berlumba di hadapan keluarga, rakan dan peminat semestinya melonjakkan lagi kekuatan kedua-dua Putera Sultan Johor itu mempamerkan kelas persaingan bermutu tinggi sepanjang perlumbaan.

 

Kejuaraan GT World Challenge Asia yang berlangsung sebanyak enam pusingan akan memasuki pertarungan akhir di Litar Antarabangsa Sepang berlangsung 22 hingga 24 September ini.

“Jom berlumba! Bersedia untuk menonton pusingan akhir @gtworldchallengeasia di @sepangcircuit 22-24 September,”  tulis kenyataan Instragram Johor Racing.

Tunku Abu Bakar bakal memberikan cabaran sengit kepada pelumba China, Anthony Xu Liu yang menerajui carta mengutip 123 mata sambil pelumba Thailand, Vutthikorn Inthraphuvasak cuba mengejar rapat (122 mata).

Buat peminat pemotoran negara, anda dijemput beramai-ramai untuk memeriahkan perlumbaan yang berlangsung selama dua hari itu.

May be an image of 3 people and text

ARTIKEL BERKAITAN : GT World Challenge Asia : Tunku Abu Bakar intai Kejuaraan Pro-Am di laman sendiri