TUAH memihak buat pasukan Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) yang dipacu oleh Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan Jordan Love, yang berjaya menduduki podium tempat ketiga dalam siri perlumbaan pusingan akhir Fanatec GT World Challenge Asia kategori pro-am.

Perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad telah memperlihatkan jentera Mercedes AMG GT3 EVO dipacu hebat oleh dua pemandu dalam kategori Pro-Am.

Berbekalkan semangat tinggi untuk kembali bangkit daripada perlumbaan semalam (Sabtu), Tunku Abu Bakar dan gandingannya, Jordan Love bergilir-gilir mempamerkan pemanduan yang cekap dan tangkas sepanjang perlumbaan berlangsung.

Tunku Abu Bakar dan Jordan Love berusaha sehingga ke titik penamat untuk mengejar posisi terbaik.

Berbaki 15 minit sebelum perlumbaan sengit itu berakhir, pacuan lebih memukau telah dipamerkan oleh Tunku Abu Bakar apabila terdapat asakan daripada pelumba lain yang mahu memintas posisi terbaiknya.

Dengan catatan masa selama 1:00:55:010, pasukan JMR telah melepasi garisan penamat dengan kedudukan nombor lima, namun terdapat satu insiden yang telah membuatkan JMR diletakkan di kedudukan keempat perlumbaan.

Terdapat satu insiden yang berlaku pada selekoh akhir di pusingan terakhir perlumbaan yang melibatkan pelumba dari China, Anthony Liu yang sepatutnya berada di kelompok teratas, terus jatuh ke nombor 12 selepas dikenakan hukuman penalti (tambahan masa 33 saat).

Perlumbaan akhir GT World Challenge Asia yang penuh sengit.

Ini dinamakan tuah buat pasukan JMR walaupun sasaran yang diletakkan oleh pelumba utama JMR, Tunku Abu Bakar untuk naik ke podium dalam keseluruhan perlumbaan ini gagal, namun keputusan perlumbaan hari ini menunjukkan prestasi lebih cemerlang berbanding semalam yang berada di tempat ke-10.

ARTIKEL BERKAITAN : GT World Challenge Asia: Perubahan cuaca pengaruhi posisi JMR di tempat ke-10

Mungkin kejayaan yang dirangkul dapat dijadikan hadiah juga buat ayahanda dan bonda tercinta, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang telah mencemar duli ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), untuk menyaksikan perlumbaan Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim sendiri.

Untuk rekod, perlumbaan pertama GT World Challenge yang berlangsung semalam telah mencatatkan masa selama 1:02:42:390 saat, seterusnya meletakkan mereka di kedudukan ke-10 kerana faktor hujan yang membasahi trek sebelum perlumbaan.