LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) kembali hangat dengan perlumbaan Fanatec GT World Challenge Asia 2024, yang turut diwakili oleh pasukan Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR).
Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim, selaku pelumba utama JMR sudah tentu menyasarkan podium untuk perlumbaan yang akan berlangsung esok sehingga Ahad ini, lebih-lebih lagi kerana bersemangat untuk beraksi di litar sendiri (SIC).
Menurut Tunku Abu Bakar, pengalaman berlumba sebanyak lebih kurang enam kali di SIC dapat menambah keyakinan dirinya untuk mengekalkan kedudukan di podium musim ini, tambahan pula apabila menerima sentuhan pacuan daripada pelumba kedua JMR, Jordan Love.
Dengan kehadiran pelumba dari Australia itu, Tunku Abu Bakar meluahkan rasa teruja dan gembira kerana dapat bergandingan dengannya, serta mendedahkan hubungan yang baik telah terjalin antara mereka berdua.
“InsyaAllah kita boleh dapatkan podium lagi tahun ini. Saya akan cuba lakukan yang terbaik kerana saya sudah berlumba di sini dalam enam kali, jadi pengalaman sudah banyak.
“Saya harap beraksi di sini dapat bagi kelebihan untuk saya raih podium dan ini juga kali pertama saya bergandingan dengan Jordan. Setakat ini kami bekerja dengan baik dan mempunyai komunikasi dan hubungan yang bagus. Kami juga teruja untuk perlumbaan esok dan itu satu perkara yang positif,” jelasnya ketika ditemui di Litar Antarabangsa Sepang.
Sementara itu, kekanda Tunku Abu Bakar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman juga mendukung sasaran yang diletakkan untuk perlumbaan esok, iaitu dengan meraih podium terbaik.
“Saya rasa dia (Tunku Abu Bakar) tahu apa yang nak buat dan yakin dengan perancangan yang telah dibuat. Ini adalah benda yang dia belajar, setiap perlumbaan memang akan ada buat kesilapan yang dia akan belajar.
“Jadi InsyaAllah, podium adalah perkara yang kita harapkan dan seterusnya supaya kita boleh melayakkan pasukan ke perlumbaan lain, dengan strategi yang bagus,” tambah Tunku Panglima Johor.
Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa Tunku Abu Bakar telah mengakhiri musim kejuaraan perlumbaan GT World Challenge Asia 2023 di kedudukan kedua secara keseluruhan.
JMR berjaya mengumpul 137 mata, iaitu hanya lima mata berbeza daripada pelumba China, Anthony Liu-Xu.