TUNKU Abu Bakar Sultan Ibrahim berkongsi pandangan bahawa litar perlumbaan di Jepun adalah litar yang paling mencabar bagi dirinya, dalam mengharungi siri perlumbaan Fanatec GT World Challenge Asia yang sedang berlangsung ini.

Berbaki enam litar berbeza yang akan dilalui oleh putera bongsu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, beliau pastinya mengharapkan keputusan yang positif, terutama hasratnya untuk menaiki podium dapat terus dicapai.

Tambahan lagi, pelumba Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR), Tunku Abu Bakar dan Jordan Love telah mempamerkan pacuan yang cukup baik di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hujung minggu lalu, dan semestinya perjuangan itu diteruskan untuk perlumbaan di Litar Chang, Thailand pada 10 hingga 12 Mei depan.

Tunku Abu Bakar mahu kekalkan prestasi cemerlang di Chang, Thailand.

“Kami telah beraksi dengan penuh cemerlang di Chang pada musim lalu, jadi saya harap tahun ini, kita boleh mengekalkan posisi terbaik kita.

“Dan memandangkan tahun ini adalah tahun yang lebih mencabar, jadi saya gembira jika kita setidaknya dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan ‘Top 5’, “ujar Tunku Abu Bakar.

Cukup dua hari beraksi di Chang, perlumbaan seterusnya disusuli dengan empat litar berbeza yang bertempat di negara Jepun, iaitu Litar Sportsland SUGO, Litar Antarabangsa Fuji, Litar Antarabangsa Suzuka dan Litar Antarabangsa Okayama.

Triple Eight JMR berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori pro-am pada aksi di SIC lalu.

Tunku Abu Bakar berkemungkinan bakal berhadapan sedikit ancaman dan cabaran yang lebih besar di Jepun, setelah beliau sendiri mengakui kesukaran litar di Jepun itu.

“Litar paling mencabar adalah di Jepun, banyak yang susah di sana. Kita pula tiada peluang untuk selalu datang ke sana. Pelumba Jepun sendiri pasti kerap berlumba di litar-litar itu dalam tempoh setahun ini, jadi mereka sudah memahami selok-belok litar di sana,” kata beliau.

Perlumbaan terdekat buat Triple Eight JMR dalam Kejuaraan Fanatec GT World Challenge adalah di Litar Chang, Thailand dengan membawa rekod terbaik sebagai juara perlumbaan kedua di litar tersebut pada musim lalu.