JOHOR DARUL TA’ZIM (JDT) bakal menerima ‘guard of honour’ apabila berkunjung ke Stadium Darul Aman esok selepas muncul juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut pada Sabtu.

Kedah Darul Aman FC yang pada permulaan musim dianggap sebagai pencabar terdekat JDT gagal memenuhi tanggapan itu apabila kini bergelut di kelompok pertengahan liga.

Apa yang menarik, JDT berjaya muncul juara Liga Super musim ini tanpa berhadapan Kedah dan kini mereka akan cuba mempertahankan rekod tanpa kalah apabila turun beraksi esok dalam perlawanan yang dijangka sukar.

 

Penyerang JDT, Bergson Da Silva mengakui perlawanan esok akan menjadi satu perlawanan yang sukar dan dia serta rakan sepasukan mahu memberikan aksi terbaik untuk membawa pulang tiga mata.

“Sentiasa sukar apabila menentang Kedah. Sukar untuk bermain di laman lawan tetapi kami akan berikan segala-galanya untuk membawa tiga mata pulang kerana kami adalah JDT,” kata Bergson menjelang perlawanan.

Sementara itu di kem Kedah, keadaan menjadi tidak menentu apabila tewas 1-0 kepada PJ City dalam aksi di laman sendiri pada Sabtu sekaligus mengakhiri rekod empat perlawanan tanpa kalah dan menjejaskan peluang Kedah mencabar tiga tempat teratas liga.

Bergson Da Silva bakal menjadi sandaran JDT merobek kubu tuan rumah, malam esok.

 

Menentang JDT pastinya bukanlah tugas yang mudah buat anak-anak buah Aidil Sharin Sahak dengan para penyokong yang sudah tentu mahukan kebangkitan dilakukan oleh para pemain Hijau Kuning.

Untuk rekod, sejak mengambil alih teraju Ketua Jurulatih pada 2019, Aidil Sharin Sahak tidak pernah merasai kemenangan ke atas JDT dalam tujuh perlawanan dengan dua seri dan lima kekalahan termasuk tewas dalam final Piala Malaysia 2019.

Perdebatan bola sepak oleh Presiden KFA, Datuk Seri Sanusi Mohd Noor dilihat membantu menghangatkan lagi suasana menjelang pertemuan penting ini namun aksi di atas padang bakal menjadi penentu kemampuan Kedah untuk menyaingi barisan bintang Harimau Selatan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada 11 Oktober di Stadium Sultan Ibrahim dan keputusan positif pada perlawanan esok akan menjadi pemangkin semangat buat mana-mana pasukan.

Kemenangan akan membawa Kedah naik ketangga kelima liga manakala JDT pula mahu meneruskan penguasaan penuh dalam bola sepak tempatan dalam memburu rekod tanpa kalah sepanjang musim.