PERSATUAN Bola Sepak Oman (Oman FA) menggunakan pelbagai cara untuk menarik lebih ramai penyokong hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan ketiga Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/2027 bertemu Malaysia.

Ini kerana majoriti penyokong Oman tidak boleh menerima kegagalan skuad itu di Kejohanan Piala Asia 2023 Januari lalu dan mahu memboikot perlawanan ini kerana seakan-akan sudah tawar hati dengan skuad kebangsaaan mereka.

Antara perkara yang dilakukan Oman FA adalah dengan memberikan kemasukan percuma buat semua penyokong sempena bulan Ramadan yang mulia dan lebih menarik mereka juga menyediakan 500 tiket percuma dan zon khas di dalam stadium untuk penyokong Malaysia.

Tidak cukup dengan kemasukan percuma, Oman FA juga menyediakan cabutan bertuah enam buah kereta untuk dimenangi oleh para penyokong yang hadir hasil tajaan dua syarikat pengedar kenderaan di Oman.

Menurut pemandu teksi yang membawa krew FLASH SUKAN sepanjang berada di Muscat, Saleem Al Bayouni para penyokong menjauhkan diri dari skuad kebangsaan kerana tidak boleh menerima kegagalan di Piala Asia 2023 selepas layak ke pusingan 16 terbaik pada edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu.

Dia berkata sesuatu perlu dilakukan segera oleh Oman FA dan bukan hanya menukar jurulatih kerana isu sebenar tidak pernah dibetulkan dan dia jelas kecewa dengan keadaan ini serta memilih untuk tidak hadir meskipun diberikan tiket secara percuma.

Bagaimanapun pendapat ini disanggah wartawan Oman Observer, Adil Al Balushi yang menjangkakan ramai penyokong akan hadir kerana menyedari kepentingan perlawanan ini selain tarikan cabutan bertuah enam kenderaan itu sendiri.

Harimau Malaya mungkin boleh mengambil kesempatan atas gerakan boikot penyokong Oman ini dengan menambah tekanan kepada mereka dengan memberikan kejutan meraih keputusan positif untuk dibawa pulang ke Malaysia.