KEMENANGAN dramatik Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Negeri Sembilan FC menerusi jaringan saat akhir Fernando Forestieri menjadi bualan peminat bola sepak tempatan di laman sosial.

Apa yang lebih menarik, ianya turut disertai oleh pemilik JDT Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut menggunakan media sosial untuk memuji pasukan dan juga mencuit insiden yang berlaku secara sinis.

Menerusi laman Twitternya, Tunku Ismail menulis “@OfficialJohor …guys, stop doing this to me 👊🏼💪🏼 🔥🔥🔥🔥🔥💙❤️” selepas sekali lagi JDT berjaya memenangi perlawanan pada minit akhir permainan.

Tunku Ismail juga dilihat membuat panggilan video kepada Fernando Forestieri ketika para pemain meraikan kemenangan dan berkongsi kegembiraan dan kegilaan bola sepak.

Selain itu, TMJ dilihat secara sinis memuat naik beberapa gambar insiden yang menyebabkan masa kecederaan 10 minit diberikan oleh pengadil keempat.

Antara momen yang dikongsikan adalah tindakan penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi yang seringkali melambatkan permainan dan aksi pemain itu bersama budak milo yang mengundang tawa dan komen daripada netizen.