PEMAIN Manchester City, Erling Haaland meledak hatrik keduanya dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini, ketika membantu Manchester City menewaskan West Ham United 3-1 di Stadium London.

Penyerang 24 tahun asal Norway itu merekodkan hatrik ke-11 untuk City, gol ketujuhnya dalam tiga perlawanan liga musim ini.

Haaland membuka jaringan pada minit ke-10 dengan penamat tajam menewaskan Alphonse Areola selepas bermain satu dua dengan Bernardo Silva.

Gol keduanya hadir menerusi rembatan padu pada minit ke-30 dan dia melengkapkan hatrik ketika permainan berbaki tujuh minit.

West Ham memperoleh gol tunggal menerusi jaringan sendiri Ruben Dias pada minit ke-19.

Pengendali Man City, Pep Guardiola

“Gol pertama, Bernardo memenangi bola, membuat hantaran dan gol. Gol ketiga, dengan ruang yang ada, sukar dihalang.

“Tidak ada bek tengah, walaupun dengan senjata – mustahil, terlalu pantas, sangat padu,” kata Guardiola berkenaan ketajaman Haaland.

Menurut Guardiola, Haaland bergelut dengan kecederaan musim lalu, tetapi masih mendahului senarai penjaring liga dengan 27 gol, dan kini dia lebih berbisa.

Haaland, yang meledak gol Liga Perdana Inggeris ke-70nya selepas 69 perlawanan, berkata prestasinya semakin baik susulan rehat mencukupi.

“Saya rasa bagus, sangat bertenaga. Saya mempunyai cuti dan pra-musim yang panjang.

“Tahun-tahun saya di sini sangat pantas. Sekarang badan dan kaki saya sudah pulih sepenuhnya dan saya cukup bersedia,” kata Haaland.