BEKAS pemain Liverpool, Jamie Carragher menyatakan bahawa Erling Haaland mungkin tersalah pilih kelab dalam satu perdebatan tentang impak penyerang tersebut kepada Manchester City.

Perdebatan tersebut tercetus apabila City menelan kekalahan ketiga setelah baru-baru ini turut tumpas kepada Tottenham Hotspurs, 1-0.

Carragher sebelum ini mengatakan City telah menjadi pasukan yang semakin lemah musim ini selepas kehadiran penyerang Erling Haaland ke dalam pasukan meskipun telah menjaringkan 31 gol dalam 28 perlawanan.

“Saya merasakan pada musim ini hanya melihat 60 peratus daripada persembahan sebenar Haaland. Saya masih teringat semasa jaringan yang dibuatnya ketika menewaskan West Ham.

“Dengan cara City bermain, saya tidak dapat lihat Haaland mempunyai ruang yang banyak untuk melakukan jaringan.

“Dia hadir menerusi saingan Liga Jerman, Borussia Dortmund, yang bermain secara counter-attack. Jadi, apabila anda bermain di sini, segala-galanya agak berbeza.

“Bersama Manchester City, anda tidak bermain secara end to end football. Ia berbeza dengan corak permainan di Liga Jerman. Saya tidak menyalahkan Haaland. Cumanya, saya merasakan Haaland salah pilih pasukan yang patut disertainya,” jelas Carragher.

Selepas mengharungi 21 perlawanan musim lalu, skuad kendalian Pep Guardiola berjaya menyumbat masuk 53 gol dan bolos 13.

Manakala, The Citizens turut berjaya menjaringkan 53 gol, dengan bolos 21 pada musim ini.