KETUA pasukan Terengganu FC, Habib Haron menjelaskan para pemain faham apa yang dikehendaki penyokong terutama apabila berhadapan pasukan yang kecil seperti PDRM FC namun mereka sudah berikan yang terbaik dan harus meraikan kejayaan membawa pulang satu mata ke Kuala Terengganu.

Ini selepas Habib dilihat berkomunikasi dengan wakil penyokong sejurus tamat aksi Liga Super antara Terengganu dan PDRM di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad yang menyaksikan keputusan tanpa jaringan dihasilkan.

“Kami tahu penyokong mahukan lebih. Mereka sentiasa ada bersama kami di mana sahaja kami beraksi dan kami perlu puaskan hati mereka terutama ketika menentang pasukan seperti PDRM yang pada mereka kita sepatutnya menang.

Sebahagian penyokong Terengganu FC yang hadir ke Stadium MBPJ, Kelana Jaya

 

“Pemain cuba berikan yang terbaik dan dapat beri mereka satu mata dengan semua pemain bebas dari kecederaan dan perkara ini sepatutnya kita perlu meraikannya dengan gembira,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Habib juga tidak bimbang dengan prestasi semasa skuad Peteh kerana dia tahu musim ini pasukan Terengganu adalah pasukan baharu dan namun mereka sudah mula mendapat rentak meskipun bergelut pada awal musim.

“Saya sebagai pemain paling senior musim ini tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan taktikal jurulatih dan juga rakan-rakan sepasukan yang baharu. Kami kini sudah semakin meningkat dan menunjukkan sefahaman yang baik di dalam padang,” jelasnya yang turut mengulas mengenai pemain import baharu dari Uzbekistan.

Aksi Habib ketika menentang PDRM FC

 

Nurillo Tukhtasinov dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua dan Habib menyatakan dia masih perlukan lebih masa untuk mengadaptasi dengan bola sepak di Malaysia kerana Liga Malaysia sangat kompetitif tidak seperti yang ramai jangkakan.

“Pemain baru ini bagus, tetapi Liga Malaysia lebih sengit. Setiap pemain adalah pemain baik tetapi untuk beraksi baik di saingan liga domestik, mereka perlukan masa untuk menyesuaikan diri kerana setiap pasukan di Liga Super cukup kuat kerana pasukan tercorot mampu tewaskan pasukan di atas liga,” tambahnya lagi.

Pemain Bahrain itu juga yakin dengan kemampuan pasukannya untuk beraksi dalam Piala AFC 2023 yang akan berlangsung September ini kerana beranggapan Liga Malaysia lebih kompetitif di rantau ini.

Nurillo Tukhtasinov perlu masa untuk sesuaikan diri dengan Liga Malaysia

“Ya saya dapat rasakan yang kita mampu pergi jauh. Kita akan bertemu dengan pasukan dari negara lain, tapi Liga Malaysia adalah sebuah liga yang berkualiti berbanding negara lain jadi saya yakin kita boleh melakukannya.”