PASUKAN Kedah Darul Aman FC secara rasmi berpisah dengan pemain import tengah mereka, Habib Haroon.
Ia sekaligus menamatkan desas-desus yang berlegar di media sosial penyokong pasukan Sang Kenari itu.
Keputusan perpisahan itu diumumkan oleh pengurusan Kedah menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di media sosial pasukan itu.
“Pihak pengurusan KDA FC ingin mengucapkan terima kasih atas segala sumbangan dan dedikasi Habib sepanjang bersama pasukan Sang Kenari.
“Selepas perbincangan bersama, kami menghormati keputusan Habib keputusannya untuk bergerak ke arah yang berbeza, menamatkan kontrak lebih awal dengan persetujuan kedua-dua pihak memandangkan beliau mempunyai komitmen peribadi di Bahrain.
“Kudrat yang beliau taburkan sebagai perancang pasukan telah banyak memberi kesan positif dalam prestasi semasa, sehingga layak ke pentas separuh akhir Piala FA 2024/25, dan seluruh warga KDA FC menghargai semua usaha beliau di atas dan luar padang,” kata pengurusan pasukan dari utara tanah air itu dalam satu kenyataan.
Selain membantu pasukan Kedah D.A ke separuh akhir Piala FA musim ini, Habib telah melakukan 11 penampilan dan jaringkan satu gol secara keseluruhan.