HABUAN menanti Imigresen FC (IFC) selepas membuktikan kemampuan menjuarai Liga MBSB 2023, sebagai tanda penghargaan pasukan kepada pemain.

Presiden IFC, Dato’ Zakaria Shaaban berkata, beliau sudah mengumumkan perkara itu kepada pemain, sebaik The Mighty Tigers dinobatkan juara liga, selepas mengatasi Melaka FC 1-0 pada aksi di Stadium Hang Tuah, Melaka.

“Tadi (semalam) juga saya sudah umumkan kepada pemain, ada habuan buat mereka, cuma saya tidak umumkan jumlah berapa, kami akan berbincang di pihak pengurusan dan lihat kemampuan yang kami ada,” kata Zakaria, ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.

Presiden IFC, Datuk Zakaria Shaaban janjikan habuan buat pemain Imigresen FC, mengikut kemampuan kewangan kelab.

Menurutnya, pencapaian diraih Imigresen dalam saingan Liga MBSB kali ini, di luar jangkaan.

“Ini adalah pencapaian di luar jangka kerana pada peringkat awal, kita belum nampak potensi sehinggalah di pertengahan liga, kita nampak ada potensi tinggi untuk menjadi juara, sebab itu saya minta jurulatih dan pemain kekalkan kedudukan di atas liga.

“Apapun saya bersyukur dan berterima kasih kepada jurulatih, barisan kejurulatihan, pengurusan dan paling penting, pemain IFC yang membawa kejuaraan ini,” kata Zakaria.

Mengulas mengenai slot ke Liga Super sebagai juara Liga MBSB 2023, beliau berkata, satu perbincangan terperinci perlu dibuat di peringkat pengurusan termasuk jurulatih.

“Soal layak, apabila kita menjuarai liga, peluang ke Liga Super memang ada tapi kita lihat kepada kemampuan untuk bersaing di sana.

“Kita tak nak ke Liga Super dan menjadi pasukan belasahan. Itu saya akan fikirkan kerana biar betul-betul bersedia baru pergi, setakat ini belum ada sebarang keputusan.”

Begitupun, beliau menegaskan, sebagai presiden kelab, keinginan melihat pasukan beraksi di Liga Super amat besar kerana pasukan akan menjadi perhatian, mendapat publisiti meluas serta lebih mudah mendapat penajaan.

Zakaria memberitahu, antara kekangan yang mungkin menghalang IFC ke liga super, “Dari segi kewangan… kemudahan… kita bukan seperti PDRM (Polis Diraja Malaysia), tentera (ATM) yang ada stadium sendiri dan pasukan yang mantap.”