GANJARAN RM1,000 menjadi habuan buat atlet yang memecahkan rekod kebangsaan pada Kejohanan Olahraga SAECA-BJSS 2022 yang berlangsung 2 hingga 4 Disember ini.
Kejohanan yang memasuki edisi keempat, bakal berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.
Innotex Group dan Sekolah Sukan Bukit Jalil bergabung menganjurkan kejohanan itu dengan misi melahirkan lebih ramai atlet muda bertaraf dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Innotex Group, Zulkipli Ghazali berkata, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang.
“Kita sediakah hadiah wang tunai RM1,000 kepada atlet yang memecah rekod kebangsaan, kita harap ia memberi motivasi kepada atlet kita untuk melakukan yang terbaik di kejohanan ini.
“Bagi pemenang setiap acara pula, tempat pertama akan memenangi hadiah wang tunai RM100, RM60 (kedua) dan RM40 (ketiga),” kata Zulkipli, dalam sidang media di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Selasa.
Turut hadir Penolong Bendahari Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Ketua Kontinjen Sukan SEA Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali; Timbalan Ketua Pengarah MSN, Suhardi Alias dan Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kemeterian Pendidikan Malaysia (KPM), Norhamimi Othman.
Zulkipli berkata, kira-kira 1,430 sudah mengesahkan penyertaan dan turut membabitkan atlet antarabangsa seperti dari Singapura.
Selain itu, nama-nama besar atlet tempatan turut disahkan mengambil bahagian seperti Muhammad Azeem Fahmi, Khairul Hafiz Jantan, Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan ramai lagi.
Zulkipli berkata, kejohanan itu membabitkan kategori perempuan dan lelaki bawah 12 tahun (B12), B14, B16 dan Terbuka.
Kejohanan terbabit bakal menggunakan teknologi digital secara keseluruhannya termasuk menentukan pemenang menerusi ‘photo finish’.