PENYERANG Selangor FC, Rauf Salifu nyata gembira dengan dua gol jaringannya ketika membantu The Red Giants menewaskan Kelantan FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.

Pemain kelahiran Ghana yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 pada 23 April nanti turut menganggap kejayaan ini sebagai hadiah awal hari lahirnya dan mempunyai sasaran peribadi yang mahu dicapai bersama Selangor.

“Saya berasa cukup bagus apabila diturunkan dan gembira kerana ini adalah perlawanan kedua saya dan dapat menjaringan dua gol untuk bantu kemenangan dan saya yakin, pastinya akan ada lebih banyak gol selepas ini.

Rauf Salifu menjaringkan dua gol untuk Selangor FC

“Ini mungkin adalah hadiah awal untuk hari lahir saya dan mungkin juga saya akan mendapat lebih jaringan menjelang sambutan hari lahir saya nanti kerana sasaran saya sebagai penyerang adalah mahu mendapatkan lebih banyak gol dan mahu membantu kelab memenangi lebih banyak piala,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Bekas pemain Sporting Kansas City II itu turut gembira bermain di Malaysia ketika bulan Ramadan kerana negara ini memahami kehendak pemain Muslim dan ini memudahkannya menyesuaikan diri dengan latihan dan perlawanan.

“Sangat gembira kerana Malaysia adalah negara Muslim yang memahami kehendak pemain Muslim. Ianya banyak membantu saya sebagai pemain berbanding ketika saya di Amerika Syarikat sebelum ini.

“Ramadan sangat bagus disini kerana banyak perkara baik berlaku dan latihan serta perlawanan berlangsung selepas saya berbuka puasa dan solat terawih. Sebagai pemain profesional, berpuasa bukan alasan untuk saya tidak memberikan yang terbaik terutama ketika latihan,” tambahnya.

Rauf yang berasal dari Accra, Ghana membuka akaun jaringan bersama Selangor dengan dua gol pada minit ke-80 dan 90 perlawanan untuk membantu Selangor meraih kemenangan ketiga berturut-turut sekali gus kembali ke tangga kedua Liga Super.