MALAYSIA Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa kesemua 14 pasukan yang menyertai Liga Super 2023 bakal menerima peningkatan agihan pendapatan sebanyak 96.55 peratus berbanding jumlah distribution pool yang diterima 14 pasukan ini pada 2022.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, peningkatan sebanyak RM6.95 juta itu akan diagihkan kepada setiap kelab berdasarkan prestasi masing-masing di penghujung musim ini tidak termasuk wang kemenangan kepada juara dan naib juara Piala MFL sebanyak RM500,000 dan RM250,000 sekali gus menjadikan jumlah agihan tambahan keseluruhan sebanyak RM7,700,000.
“Sistem agihan pendapatan berdasarkan merit ini sudah dibentangkan kepada semua Rakan Kongsi Liga dalam pertemuan bersama CEO-CEO kelab Liga Malaysia pada 15 Februari 2023 di mana sistem agihan pendapatan ini dilihat lebih adil buat kelab-kelab yang mempamerkan prestasi cemerlang pada sepanjang musim Liga Malaysia 2023.
“Pembentangan itu mendapat reaksi cukup baik dan mereka menerima cadangan agihan pendapatan berdasarkan merit untuk diperkenalkan tahun ini,” katanya dalam Facebook MFL pada Selasa.
Sementara itu, Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata, peningkatan agihan pendapatan kepada semua kelab Liga Super musim ini adalah satu petanda positif terhadap perkembangan Liga Malaysia.
“MFL melihat sistem agihan pendapatan ini akan menggalakkan semua kelab bersaing hebat bagi mendapatkan kedudukan terbaik sekali gus menerima lebih banyak pendapatan.
“Adalah tanggungjawab MFL sebagai badan pengelola liga untuk berusaha meningkatkan pendapatan kelab-kelab dan kami percaya dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat serta rakan penyiar, Liga Malaysia dapat terus dikomersilkan bagi meningkatkan pendapatan kelab-kelab,” jelasnya.
Berikut adalah senarai penuh agihan wang jumlah pendapatan Liga Super 2023 berdasarkan kedudukan pasukan:
- RM500 ribu+RM1.9 juta = RM2.4 juta
- RM500 ribu+RM1.4 juta = RM1.9 juta
- RM500 ribu+RM1 juta = RM1.5 juta
- RM500 ribu+RM700 ribu = RM1.2 juta
- RM500 ribu+RM550 ribu = RM1.05 juta
- RM500 ribu+RM500 ribu = RM1 juta
- RM500 ribu+RM400 ribu = RM900 ribu
- RM500 ribu+RM350 ribu = RM850 ribu
- RM500 ribu+RM 300 ribu = RM800 ribu
- RM500 ribu+RM250 ribu = RM750 ribu
- RM500 ribu+RM200 ribu = RM700 ribu
- RM500 ribu+RM150 ribu = RM650 ribu
- RM500 ribu+RM125 ribu = RM625 ribu
- RM500 ribu+RM100 ribu = RM600 ribu