LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) dengan kerjasama Empayar Pahlawan Sukan (EPS) akan menganjurkan acara Apex Duathlon 2024, acara melibatkan peserta yang ramai buat julung kalinya pada 17 November 2024.

Inisiatif menarik ini jelas menunjukkan komitmen SIC  mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif di kalangan rakyat Malaysia selain menjadikan litar itu lebih mesra kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif menjelaskan ini adalah sebahagian daripada langkah yang diambil SIC dalam menjadikan litar itu lebih terbuka kepada umum.

Azhan Shafriman dan Dominic ketika sidang media APEX Duathlon 2024

“Misi kami melangkaui sukan permotoran.  Kami mensasarkan untuk menjadi sebuah hab edutainment dimana sukan, pendidikan dan hiburan diletakkan di bawah satu bumbung selari dengan aspirasi kami untuk menjadikan litar ini lebih mudah diakses oleh pengguna.

Saya tidak sabar untuk mengalu-alukan kehadiran peserta untuk merasai sendiri pengalaman mengujakan dalam acara larian dan berbasikal di sepanjang trek ini,” katanya ketika sesi sidang media.

Berlatarbelakangkan litar ikonik kebanggaan sukan permotoran negara itu, acara ini menjanjikan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sama ada oleh peserta pro, elit, amatur dan juga mereka yang baru sahaja menyertai dengan cabaran yang menanti.

Pengarah EPS, Dominic Ang Ding Xiong turut mengakui teruja dengan acara ini kerana ianya direka oleh bekas atlet junior olimpik serta beberapa bekas jurulatih ditambah dengan prestij Litar Antarabangsa Sepang Petronas itu sendiri.

Acara Apex Duathlon 2024 menjangkakan akan menerima lebih 1,500 orang peserta dengan dua kategori iaitu Kategori Sprint melibatkan 27.5km (5km – 20km – 2.5km) dan Kategori Cabaran melibatkan 75km (10km – 55km – 10km).

Wang hadiah berjumlah RM40,000 menanti para pemenang dengan harga tiket pendaftaran masuk bagi ‘early bird’ bermula dari RM220 dan RM320 dengan beserta boleh mula mendaftar bermula 22 Julai 2024.