ULANG Tahun Perkahwinan Ke-41 Sultan Johor dan Permaisuri Johor mencatatkan satu kenangan manis selepas salah seorang anakanda baginda berdua meraih tempat ketiga pada perlumbaan pertama pusingan akhir GT World Challenge Asia di Sepang, pada Sabtu.
Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor bersama rakan sepasukan, Mikael Greneir menunjukkan prestasi baik pada perlumbaan yang cukup sengit bagi mengekalkan harapan meraih kejuaraan pada perlumbaan kedua esok.
“Ini hadiah yang cukup bermakna buat DYMM Tuanku dan saya sempena ulang tahun perkahwinan ke-41. Saya juga berdoa pasukan terus mencatatkan kejayaan dalam perlumbaan esok,” titah baginda.
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, bertitah demikian kepada Royal Press Office (RPO) selepas majlis penyampaian hadiah bersempena perlumbaan berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi anakanda baginda berdua, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor bersama rakan sepasukannya, Broc Fenney menamatkan perlumbaan pada tangga ke-11.
Gandingan Tunku Abdul Rahman-Broc Fenney serta Tunku Abu Bakar-Mikael Greneir mewakili Triple Eight Johor Motosports Racing (JMR).
Berangkat sama memberikan sokongan pada perlumbaan hari ini, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Binti Almarhum Sultan Idris Shah; YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
ARTIKEL BERKAITAN : GT World Challenge Asia : Hadiah istimewa buat ayahanda dan bonda sempena Ulang Tahun Perkahwinan ke-41 jika rangkul gelaran