BEKAS pemain tengah skuad kebangsaan, Hafiz Kamal menjelaskan saingan Liga M3 bukanlah hanya berkelas ‘cap ayam’ atau lebih sinonim digelar liga bawahan.

Menurutnya, dengan ketiadaan Liga Premier musim ini medan Liga M3 merupakan medium terbaik bagi pemain menyerlahkan bakat mereka dalam liga tersebut.

Selain itu, Hafiz menyifatkan saingan Liga M3 ini tetap mempunyai prestij yang tersendiri dan mempunyai kualiti yang baik.

“Bagi saya Liga M3 ini bukanlah satu pengakhiran, membuka peluang pada mana-mana pemain yang tiada pasukan.

“Tahun ini saya lihat kancah Liga M3 berkualiti dan rancak memandangkan ramai bekas-bekas pemain kebangsaan mahupun Liga Super menyertai pasukan Liga M3.

“Aksi Liga M3 lebih laju kerana ramai pemain muda yang berpotensi dan menjadi tempat mereka untuk mempamerkan bakat, jadi tidak timbul isu Liga M3 tiada kualiti,” tegasnya.

Hafiz memulakan karier bola sepak bersama Shahzan Muda dalam saingan Piala Presiden (2008-2009) sebelum dinaikkan pangkat menyertai skuad senior setahun kemudian dan meledak enam gol hasil 32 penampilan.

Pahang FA menjadi destinasi pertama Hafiz bersama pasukan negeri mulai 2012 hingga 2015 dimana ketika ini juga dia dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya (2014) dan melakukan lapan penampilan.

Dia sudah tidak asing lagi dalam kancah bola sepak tempatan selepas menempah kegemilangan bersama Pahang dan Selangor sebelum pulang ke pasukan negeri asalnya, Perak pada musim 2017.

Bagaimanapun malang menimpa pemain  itu apabila mengalami kecederaan lutut dan terpaksa menjalani pembedahan pada pertengahan musim 2017.

Dalam pada itu, Pentas Liga M3 nyata memberikan peluang buat dirinya untuk kembali beraksi dengan menyertai Kuala Lumpur Rovers FC pada 2020 sebelum tahun berikutnya memperkuatkan pasukan MNY FC Ipoh.

Imigresen FC kini berada dikedudukan keempat Liga M3 manakala dalam saingan Piala FA pula bakal menentang Kuala Lumpur City FC pada pusingan kedua selepas membenam cabaran Kuala Kangsar BRM FC pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras, Sabtu lalu.