MD Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing akan kembali untuk pusingan ketiga dengan semangat untuk mendominasi kategori CP125 di Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.
Menaiki podium sudah menjadi suatu kebiasaan bagi pelumba yang berasal dari Terengganu. Hafiza yang menduduki tempat ketiga keseluruhan pada musim lalu sekali lagi memperagakan kebolehannya untuk berlumba dimana-mana litar dengan pencapaian yang hebat.
“Untuk perlumbaan yang akan datang, kami akan menggunakan data yang telah diperolehi untuk persediaan jentera kami.
“Persaingan kali ini agak mencabar terutamanya dengan pelumba-pelumba yang berbakat. Namun begitu, saya bersama-sama dengan rakan sepasukan akan cuba untuk podium bagi setiap perlumbaan.
“Untuk juara keseluruhan, saya akan cuba konsisten dalam pungutan mata,” katanya.
Pada musim ini, Hafiza telah menunjukkan dominasinya di Litar Sepang dan Litar Tangkak apabila berjaya mengukuhkan kedudukannya di tangga pertama pada kedua-dua pusingan tersebut.