ADA persefahaman, meskipun mengambil sedikit masa untuk serasi di gelanggang pertandingan.

Gandingan percubaan, Muhammad Haikal Nazri-Muhammad Fazriq Mohamad Razif melepasi ujian pertama di Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023.

Gandingan yang mewakili Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu tiada masalah menyingkirkan pasangan adik-beradik Zulfaiz Zulkifli-Zulhelmi Zulkifli dari Putrajaya, 21-17, 21-6, dalam tempoh 23 minit.

Menurut Haikal, mereka agak canggung di set pertama kerana baru kali pertama bergandingan di kejohanan namun pada set kedua, mereka menemui rentak.

“Alhamdullilah semua berjalan lancar walaupun set pertama tadi kami agak perlahan sebab belum dapat rentak. Jadi bila masuk set kedua itu kami main laju untuk menang.

“Pada set pertama, saya melakukan kesilapan apabila membuat pukulan smash tanpa melakukan susulan dan perkara itu saya tidak ulangi,” katanya.

Meskipun tidak menganggap gandingannya bersama Fazriq sebagai gandingan yang akan diteruskan di masa hadapan, Haikal tetap memasang impian memburu kejuaraan di kejohanan ini.

Dia dan Fazriq mengandaikan cabaran besar menanti di suku akhir, apabila menjangka akan berdepan juara Cabaran Antarabangsa Mongolia 2023, Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong, menanti.

Di pusingan kedua esok, Haikal-Fazriq akan bertemu Goh Shao Tang-Ng Jhi Hao.

Sementara itu, Muhammad Fazriq berkata kemenangan perlawanan pertama ini mampu menjadi pemangkin semangat buat mereka meneruskan rentak kecemerlangan pada pusingan seterusnya.

Beliau turut melahirkan keyakinan kombinasi bersama Haikal mampu diteruskan sekiranya mereka mempunyai keserasian yang baik dalam gelanggang.