KEJOHANAN Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 tidak lagi berada dalam perancangan beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, selepas ranking pasangan itu merosot gara-gara terlepas beberapa kejohanan, akibat kecederaan yang dialami Hon Jian, pada sesi latihan kira-kira sebulan lalu.
Haikal berkata,ketika Hon Jian hanya fokus kepada proses pemulihan kecederaan pinggul , gandingan yang kini menghuni ranking ke-19 dunia, terlepas beberapa kejohanan penting, ketika berada di posisi terbaik untuk layak ke WTF 2024.
“Sebelum beraksi di Terbuka China (September), memang kami sasarkan (WTF) tetapi kalah awal, ditambah pula dengan kecederaan dialami Hon Jian, saya beritahu dia supaya dia fokus kepada pemulihan dan kami mahu fokus kepada kejohanan di tahun hadapan,” kata Haikal, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.
Pada September, pasangan itu menghuni ranking kelima Jelajah Dunia, kini tergelincir ke tangga ke-11 dengan 57,900 mata, sekali gus menyukarkan peluang untuk mereka memasuki kelompok lapan teratas yang kini diisi dua wakil negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (3) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (7).
Menurut Haikal, Hon Jian baru menyertai latihan gelanggang dan kini pergerakannya keliatan normal dan tidak teragak-agak lagi.
“Saya sendiri tidak sabar nak beraksi di kejohanan kerana sepanjang Hon Jian menjalani rehabilitasi, saya berlatih seorang diri fokus kepada meningkatkan kekuatan.Saya nak tengok hasilnya pada kejohanan,” ujarnya.
Keterangan Gambar:
Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri impi ke Jelajah Dunia Akhir
Tambah Haikal, dia dan Hon Jian dijangka menyertai Kejohanan Masters Korea bermula 5 hingga 10 November.
Untuk rekod, Hon Jian mengalami kecederaan pinggul ketika menjalani latihan di ABM, selepas Terbuka China, September lalu.