SAINGAN Masters Indonesia bermula esok, bakal menjadi titik tolak kepada pasangan beregu lelaki meningkat naik, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Gandingan yang kini berada di ranking ke-51 dunia itu perlu buktikan bahawa dua kejuaraan yang dimenangi pada penghujung tahun lalu, bukanlah satu nasib, malah atas usaha keras mereka berdua.

Bagi Haikal, bakal beraksi pada kejohanan peringkat senior bertaraf Super 500 itu, menjadi cabaran sebenar buat mereka kerana apatah lagi turut membariskan beregu nombor dua dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Bangga, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian bukan hanyba memenangi Kejohanan Antarabangsa Syed Modi, India bertaraf super 300, malah menewaskan gandingan Top20 dunia dari Jepun, Akira Koga-Taichi Sato.

Sedar akan tahap kesukaran kejohanan, Haikal tetap menetapkan sasaran tinggi untuk melayakkan diri ke suku akhir, sebagai motivasi buatnya dan rakan gandingan, Hon Jian.

“Sasaran saya tidak terlalu tinggi, saya sasarkan untuk ke suku akhir terlebih dahulu kerana Super 500 cuku besar.

“Malah sepanjang tahun ini, saya dan Hon Jian mahu konsisten untuk sekurang-kurangnya melangkah ke suku akhir setiap kejohanan yang kami sertai,” kata Haikal.

Begitupun, berdasarkan ranking Jelajah Dunia semasa yang dikemaskini 16 Januari lalu, gandingan muda negara itu berada di kedudukan kedua dengan 12,500 mata, ketinggalan kira-kira 2,000 mata di belakang pasangan Taiwan Lin Bing Wei-Su Ching Heng.

Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian, kini percaya mereka mampu mencapai kejayaan sekiranya hadir dengan kesungguhan.

Meskipun kiraan mata dari Terbuka India belum dikira, ia seharusnya menjadi tonik tambahan buat Haikal dan Hon Jian, agar tampil dengan penuh keyakinan meskipun perlu melepasi perlawnaan kelakyakan terlebih dahulu.

Mereka dijadual menentang Job Castillo-Luis Armando Montoya Navarro dari Mexico pada pusingan kelayakan dan jika menang, akan lolos ke pusingan pertama, untuk menghadapi satu lagi pasangan yang menerusi pusingan kelayakan.

Enggan terlalu memandang rendah kemampuan diri, Haikal yakin dia dan Hon Jian memiliki kemampuan untuk berdepan beregu teratas dunia, terutamanya selepas menewaskan pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito yang kini di ranking ke-14 dunia.

“Kami tahu kualiti pemain di atas, tapi saya rasa… kami boleh main (lawan) cuma kami perlu cepat mempelajari kepelbagaian corak permainan dalam satu-satu perlawanan.

“Sejak mengejutkan pemain Jepun, saya rasa permainan kami sudah mula diselidik pihak lawan dan kami perlu bijak menggunakan strategi berbeza untuk mendapatkan kemenangan,” ujar Haikal lagi.

Mula bergandingan dengan Hon Jian pada Julai tahun lalu, mereka mula menampakkan keserasian apabila ke suku akhir Cabaran Antarabngsa Indonesia (September), naib juara Masters Indonesia II (Oktober), suku akhir Cabaran Antarabangsa Malaysia (November), juara di Cabaran Antarabangsa Syed Modi India dan Gwahati Masters India pada November dan Disember lalu.