HARI pertama menjalani latihan di gelanggang selepas mengalami kecederaan buku lali, Muhammad Haikal Nazri memberanikan diri untuk tidak memakai pelekat (tape), kerana mahu menghilangkan perasaan trauma.

Menurutnya, keberanian itu perlu kerana dia begitu bersemangat apabila tersenarai dalam skuad lelaki yang menggalas cabaran ke saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang berlangsung 13 hingga 18 Februari ini.

“Buku lali saya semakin baik dan kini saya menjalani latihan dalam masa sama melalui fasa pemulihan. Di sini, saya menjalani terapi fisio namun dalam masa sama, saya sering berhubung dengan doktor di ISN (Institut Sukan Negara),” kata Haikal, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Muhammad Haikal Nazri, cuba menghindar daripada memikirkan kecederaan bulu lalinya.

Menurutnya, doktor ISN memberitahu berlaku kecederaan kecil, tisu buku lalinya koyak namun dia kini lega kerana proses pemulihan berlaku agak pantas.

Menurutnya, kecederaan itu mula dialami ketika dia dan Choong Hon Jian menyertai Indonesia Masters, iaitu pada perlawanan menentang gandingan Denmark.

“Berita mengenai saya dan Hon Jian terpilih menyertai BATC, ketika kami berada di Indonesia, apabila rakan sepasukan memberi tahu saya terpilih.

“Tetapi selepas berita itu, saya alami kecederaan dan rasa sakit itu menjejaskan pergerakan saya sehingga terpaksa menarik diri dari Thailand Masters.

Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian, kini percaya mereka mampu mencapai kejayaan sekiranya hadir dengan kesungguhan.

“Tapi dalam latihan, saya tidak rasa sakit lagi kecuali ketika saya mendarat terlalu kuat.

“Ia membuatkan saya ada perasaan curiga dan takut-takut dalam gelanggang, ketika latihan,” kata Haikal lagi.

Kali pertama berada dalam skuad berpasukan lelaki Asia, Haikal enggan menjadi pelengkap senarai dan berharap dapat diturunkan dalam mana-mana perlawanan.

“Dalam kumpulan kita, pasukan lawan tidak kuat kecuali Taiwan. Jadi saya harap dapat beraksi sekali gus membiasakan diri dengan suasana pertandingan, saya tak mahu jadi simpanan sahaja.”

Malaysia diundi dalam kumpulan B di BATC 2024, bersama Taiwan, Brunei dan Kazakhstan.

Untuk rekod, pasukan lelaki negara adalah juara bertahan selepas memenangi gelaran pada edisi 2022.