SUDAH membuat keputusan dan memaklumkannya kepada jurulatih, Muhammad Haikal Nazri berharap permintaannya direstui.

Pemain beregu lelaki negara itu tidak mahu lagi terus memikirkan nasib malangnya yang kini terumbang ambing dalam skuad kebangsaan, selepas ‘dipetik’ ketika perlu dan dibuang setelah tidak diperlukan lagi.

Meskipun menafikan kecewa apabila Nur Izzuddin Rumsani mahu kembali bergandingan dengan Goh Sze Fei, pemain berusia 21 tahun dari Tawang, Bachok, Kelantan ini, mengakui situasi itu menghantui pemikirannya.

Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani bergandingan semula demi Olimpik Paris.

“Saya terima keputusan Izzuddin dan saya menyokongnya, tetapi selepas itu, ketika jurulatih berada di luar negara mengiringi pemain ke kejohanan, persoalan mengenai nasib diri saya dalam skuad kebangsaan mula membuai.

“Jadi selepas habis memikirkannya, saya sudah bertemu jurulatih dan menyuarakan pandangan, dengan siapa mahu bergandingan,” kata Haikal.

Haikal mendedahkan, dia memberitahu Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky bahawa mahu bergandingan bersama Choong Hon Jian.

Choong Hon Jian sebelum ini digandingkan bersama GHoh Sze Fei.

Selepas Izzuddin memutuskan mahu berpisah dengan Sze Fei, Hon Jian digandingkan bersama Sze Fei dan pemain berusia 19 tahun itu  turut terkontang-kanting, memerlukan gandingan baru ketika ini.

“Pemilihan Hon Jian sebenarnya saya juga sudah berbincang dengannya. Saya memilih dia kerana ada pengalaman bermain dalam acara beregu campuran.

“Dia memiliki kelebihan dari segi pukulan smash kencang dan lebih bertenaga untuk mengawal gelanggang di bahagian belakang, lalu saya hanya lebih fokus kepada depan net.

Nur Izzuddin Rumsani bergandingan dengan Muhammad Haikal Nazri meraih gelaran Cabaran Antarabangsa Malaysia, Disember tahun lalu.

“Saya fikirkan gandingan kami akan menjadi selepas mengimbas kembali aksi di Sukan Sea Vietnam tahun lalu. Ketika itu saya berganding dengan Chen Tang Jie dalam acara berpasukan dan permainan lebih baik dibandingkan dengan gandingan asal Arif Junaiidi.

“Kalau saya bersama pemain seperti Arif… kami perlu lebih banyak membuat rotation malah pengalaman selama ini membuktikan kami tidak mampu pergi jauh kerana tiada power.”

Meskipun digandingkan dengan Muhd Fazriq Mohd Razif Sidek di Kejohanan Kebangsaan awal bulan depan, Haikal tetap berharap dia akan bergandingan dengan Hon Jian pada kejohanan terbuka, selepas ini.