MUHAMMAD Haiqal Hanafi mengesahkan tiket merit ke Sukan Sea Kemboja Mei depan, selepas meraih pingat emas 100 meter (m) lelaki Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023, pada Sabtu.

Justeru atlet yang mewakili Negeri Sembilan itu berpeluang merampas semula pingat emas Sukan Sea yang dimenanginya empat tahun lalu.

Haiqal, 24, membuktikan dia masih antara yang terbaik apabila melakukan catatan 10.46 saat (s) sekali gus mengesahkan tiket ke Kemboja.

Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Mini MSN Bukit itu, Haiqal mengatasi Khairul Hafiz Jantan dari Melaka yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 10.51s diikuti pelari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jonathan Nyepa 10.53s (s).

Haiqal Hanafi mempamerkan larian bertenaga.

Haiqal pernah mencipta sensasi dengan memenangi emas pada Sukan SEA Manila 2019 dengan catatan 10.35s tetapi gagal layak pada temasya di Hanoi, tahun lalu.

Ketika ini, tiga pelari pecut layak beraksi di Sukan SEA Kemboja iaitu pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang mencatatkan 10.09s di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, Ogos tahun lalu selain Muhammad Arsyad Md Saat yang melakukan catatan 10.46s di Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu dan Haiqal.

Bagaimanapun, dengan Azeem dilaporkan tidak dapat mewakili negara di Kemboja kerana berkelana di Amerika Syarikat, Haiqal dan Arsyad dijangka menggalas cabaran Malaysia dalam acara riben biru itu.

Nur Aishah Rofina terus konsisten, menjuarai acara 100m Sukma 2022, Sukipt 2022, Kejohanan Olahraga IPT 2022 Grand Final dan Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023.

“Walaupun hujan, ia bukan halangan untuk saya menang pada petang ini. Biasanya faktor hujan susah mahu dapat catatan masa terbaik.

“Selain itu, kebiasaannya untuk kejohanan pertama saya, catatan masa selalu tidak baik. Alhamdulillah saya memang bangga dengan pencapaian yang dilakar pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, dalam saingan 100m wanita, atlet Sabah, Nur Aishah Rofina Aling memenangi emas selepas mencatat masa terpantas 11.90s yang juga rekod peribadi terbaiknya dan yang pertama di bawah 12s.

Pelari berusia 24 tahun itu mengatasi Zaidatul Husniah Zulkifli dari ATM yang mengakhiri saingan di tempat kedua dengan catatan 11.91s manakala Olimpian negara dari Terengganu, Azreen Nabila Alias terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga dengan 11.99s.