RAJA pecut 100 meter lelaki Sukan SEA 2019, Muhammad Haiqal Hanafi sedar bahawa dirinya perlu konsisten dalam memburu rekod catatan terbaik 10.44s yang pernah dibuat pada tahun lalu supaya dapat menjadi pembakar semangat buat tahun ini.
Pelari pecut negara yang kini berada di ranking kelima itu bakal menghangatkan Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 2 dan 3 Mac 2024.
Anak jati Negeri Sembilan itu menaruh harapan agar dirinya dapat mempamerkan larian yang terbaik sekali gus mencatatkan rekod yang sama seperti di Sukan SEA Kemboja tahun lalu.
“Saya berharap agar dapat menjadikan musim ini sebagai musim terbaik sama seperti yang saya pernah lakukan pada tahun lalu, (Sukan SEA Kemboja) dengan catatan masa 10.44s.
“Andai ada rezeki saya untuk lakukan sedemikian, itu adalah satu pencapaian terbaik buat pembukaan musim 2024 ini dan saya percaya semuanya tidak mustahil untuk digapai.
“Saya juga hanya merancang supaya tiada kecederaan serius yang akan menimpa saya pada tahun ini,” ujar Haiqal kepada FLASH SUKAN.
Sementara itu, Haiqal turut berkongsi bahawa dirinya mempunyai cita-cita untuk membawa kuartet 4×100 ke Sukan Olimpik.
“Tetapi, saya sedar skuad kami belum sampai ke tahap sedemikian namun saya percaya suatu hari nanti pasti kami akan berjaya melangkah ke Olimpik.
“Impian untuk perseorangan ke Olimpik pula bagi saya masih pudar lagi, walau bagaimanapun saya percaya pada rezeki Tuhan,” ulasnya.