BEKAS raja pecut Sukan SEA, Muhammad Haiqal Hanafi meraih pingat gangsa acara akhir 100 meter (m) lelaki edisi 2023 di sini hari ini.
Pada aksi final di Stadium Nasional Morodok Techo, Muhammad Haiqal Hanafi yang memenangi emas edisi 2019 di Manila, Filipina, mencatat masa 10.44s untuk kedudukan tempat ketiga.
Manakala, juara edisi 2017 di Kuala Lumpur, Khairul Hafiz Jantan terlepas peluang bergelar lelaki terpantas Asia Tenggara apabila sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dengan catatan 10.46s.
“Saya gembira dengan prestasi saya, tidak akan berputus asa dan akan terus berusaha bagi meningkatkan prestasi.
“Saya harap seluruh rakyat Malaysia dapat menerima keputusan ini. Saya mendapat gangsa dan ia bukan mudah untuk memenangi acara 100 meter,” katanya kepada media Malaysia di Phnom Penh.
Emas menjadi milik pelari Thailand, Soraoat Dapbang (10.36s), sementara perak diraih Marc Brian Loius (10.38s) dari Singapura.