HASRAT Kontinjen Malaysia untuk menambah pungutan pingat tidak kesampaian apabila penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri tidak berjaya membutirkan pingat ketika aksi final 3m papan anjal wanita di Sukan Olimpik Paris 2024.

Dhabitah yang layak ke final selepas beraksi cemerlang di peringkat kelayakan dan separuh akhir, tidak dapat mengulangi terjunan yang baik meskipun menduduki tangga ketiga selepas berakhir dua pusingan.

Kecemerlangan dua terjunan awal tidak dapat dikekalkan penerjun berusia 25 pada terjunan ketiga dan keempat yang menyaksikan dia terpaksa berpuas hati mengakhiri kempen Olimpik ketiganya di tempat terakhir dari 12 peserta.

Dhabitah mencatat 63.00 mata pada terjunan pertama diikuti 60.00 mata pada terjunan kedua sebelum hanya mencatat 37.50 mata di terjunan ketiga dan 28.50 mata untuk terjunan keempat sebelum mengakhiri saingan dengan 55.80 mata pada terjunan terakhir untuk mata keseluruhan sebanyak 244.80.

Penerjun China, Chen Yiwen mengekalkan pingat emas dengan atlet Australia Maddison Keeney memenangi perak manakala seorang lagi penerjun China, Chang Yani melengkapkan podium dengan pingat gangsa.

Malaysia mengakhiri kempen di kolam renang dengan berita duka selepas kedua-dua penerjun tidak berjaya mendapatkan pingat dalam acara masing-masing.