PEMAIN baharu Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Hakimi Abdullah, optimis pasukan mereka mampu memberikan saingan sengit kepada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pertemuan Liga Super malam ini.

Hakimi, yang baru menyertai pasukan Kelantan, meluahkan keyakinannya terhadap kemampuan rakan sepasukan untuk berdepan juara bertahan itu.

“Moral kami sangat baik dan persiapan berjalan lancar. Kami hadir untuk memberi saingan kepada JDT,” katanya yang dipetik daripada akaun rasmi kelantan_unitedfc.

Tambahnya lagi, kehadiran beberapa pemain baru seperti Muhaimin Izzudin, termasuk pemain import, Aung Kaung Mann akan memberi suntikan tambahan kepada skuad Sang Kijang Emas itu.

“Dengan kedatangan pemain baru termasuk import dan saya sendiri, inshaAllah kami buat yang terbaik berdepan pihak lawan nanti,” ujarnya.

Hakimi Abdullah memilih jersi bernombor 61 bersama KDN FC. FOTO | kelantan_Unitedfc

Hakimi turut mengakui JDT bukanlah lawan yang mudah, tetapi tetap berpegang kepada keyakinan pasukan untuk mencipta kejutan.

“Kami tahu JDT bukanlah lawan yang mudah tapi seperti yang saya katakan, kami akan buat yang terbaik disini,” tambahnya.

Dengan moral yang tinggi dan persiapan rapi, beliau yakin Kelantan mampu menunjukkan prestasi terbaik mereka.

KDN FC yang turun sebagai tuan rumah dijangka menghadapi cabaran getir dalam usaha mereka memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super musim 2024/25.

Skuad Sang Kijang Emas kini tekad untuk meraih keputusan positif sekaligus membawa perubahan kepada prestasi pasukan pada musim ini.

Pertembungan antara Kelantan Darul Naim FC dan Johor Darul Ta’zim akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim harini, jam 9 malam.