SATU keputusan yang memberi kesan mendalam di jiwa pemain Kelantan Darul Naim (KDN FC), Hakimi Abdullah apabila pasukannya tewas 1-3 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi Liga Super tempoh hari.
Namun, anak jati Kelantan itu mahu segera bangkit dan melupakan perit kekalahan berkenaan, sekali gus berusaha bersungguh-sungguh dalam menampilkan aksi terbaik pada perlawanan bertemu Sri Pahang FC pada esok, Jumaat.
Menurut Hakimi, dirinya sedar akan perjalanan skuadnya yang masih panjang, tatkala mereka juga tidak mahu melepaskan peluang untuk mengejar kedudukan di carta liga.
“Kekalahan itu memang perit tapi saingan liga masih lagi panjang dan tidak semua kelab mampu mengekalkan momentum. Kami kena bangkit pada aksi dengan Sri Pahang FC.
“Saya dan rakan-rakan kena fokus, telan kekalahan sebelum dengan menjadikan ia sebagai motivasi terbaik untuk cuba menewaskan pasukan lawan nanti.
“Jadi, kami kena sentiasa positif, sentiasa bersedia dan paling penting, jangan luntur semangat untuk berjuang,” ujar Hakimi menerusi hantaran yang dimuat naik di laman rasmi KDN FC.
Pemain berusia 25 tahun itu beraksi cemerlang dengan menyumbangkan satu bantuan gol kepada Washington Brandao ketika skuad Sang Kijang Emas terpaksa menelan hakikat kebangkitan lewat tiga jaringan KL City di Cheras, Jumaat lalu.
Perlawanan seterusnya yang akan berlangsung di Stadium Temerloh, Pahang diharap dapat mempamerkan corak permainan terbaik dibawah kendalian Park Jaehong bagi mendapatkan kemenangan ketiga pada aksi Liga Super 2024-25.